Rara nafi lantik wakil program jana pendapatan mingguan

Tangkap layar individu yang mengaku wakil Rara bagi program tersebut.
Tangkap layar individu yang mengaku wakil Rara bagi program tersebut.
A
A
A

BENTONG - Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman meminta orang ramai berhati-hati berikutan terdapat individu yang mengaku menjadi wakil beliau untuk menjalankan program menjana pendapatan mingguan.

Beliau yang mesra dengan panggilan Rara berkata, dimaklumkan terdapat beberapa individu menerima mesej terus (DM) di Instagram daripada seseorang yang memperkenalkan diri sebagai Nadia Raja dan mengaku sebagai wakilnya.

"Saya menafikan sekeras-kerasnya perkara ini dan tidak pernah melantik mana-mana individu luar sebagai wakil selain daripada pegawai-pegawai di pejabat saya.Ini adalah scam.

"Saya mohon agar orang ramai yang menerima mesej begini untuk mengabaikannya dan membuat laporan terhadap akaun Instagram ini," kata beliau dalam hantaran di Facebook miliknya pada Isnin.

Rara juga meminta dan menasihati orang ramai terutama penduduk di Bentong dan warga emas agar tidak terpengaruh dengan scammer yang kini menggunakan pelbagai cara untuk menipu mereka.

"Periksa dahulu kesahihan kandungan mesej yang dihantar dan jangan sesekali menekan pautan dihantar," tambah beliau.

Sementara itu, satu laporan polis dibuat oleh pegawai khas Ahli Parlimen Bentong itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong pada hari sama susulan kes tersebut.