Vape: 'Malaysia seolah-olah sudah memasuki era 'Wild Wild West'

Khairy Jamaluddin
Khairy Jamaluddin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar hari ini menyuarakan kebimbangan berhubung penjualan berleluasa vape tanpa kawalan di Malaysia, sehingga ia menarik minat media antarabangsa menghasilkan satu laporan khas tentang isu itu.

Melalui laman Twitter, beliau memberi reaksi mengenai laporan khas, Al Jazera dalam program berjudul, 101 East yang mempaparkan bukti produk itu mudah dibeli oleh kanak-kanak bawah 18 tahun.

Beliau menganggap Malaysia seolah-olah sudah memasuki era Wild Wild West selepas penjualan bahan nikotin itu didakwa tidak lagi dikawal oleh undang-undang.

"Tiada penguatkuasaan di Malaysia kerana tiada undang-undang di Malaysia," dakwa Khairy.

Dalam laporan penyiasatan berkenaan krew Al Jazera dilaporkan mengunjungi enam buah kedai menjual vape di ibu negara.

Laporan itu menyebut, tiada satu kedai yang meminta kad pengenalan bagi pengesahan umur walaupun terdapat notis yang memaparkan bahan itu hanya boleh dibeli pada usia 18 tahun ke atas.

Khairy turut memohon maaf kerana penjualan vape tanpa kawalan sehingga orang ramai, terutama ibu bapa terpaksa berhadapan dengan situasi seperti itu. - Awani