PRN: Calon tempatan faktor penting raih undi

Zainol Abidin (kiri) melawat pameran di Seminar Peralihan Tenaga dan Kelestarian Alam di Napoh di Kubang Pasu pada Isnin.
Zainol Abidin (kiri) melawat pameran di Seminar Peralihan Tenaga dan Kelestarian Alam di Napoh di Kubang Pasu pada Isnin.
A
A
A

KUBANG PASU - Calon yang merupakan anak tempatan antara faktor penting untuk meraih undi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah terutamanya di Kubang Pasu.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kubang Pasu, Zainol Abidin Mohamad berkata, ini kerana calon tempatan tinggal dalam kawasan dan berada lebih dekat dengan pengundi berbanding calon luar.

Katanya, personaliti calon yang mudah didekati dan sering membantu masyarakat tidak kira masa juga penting untuk menarik pengundi.

"Sejak tahun lepas lagi saya sering turun ke kampung-kampung untuk menyantuni masyarakat, respons yang kita terima daripada akar umbi sangat memberangsangkan.

"Mereka mahukan calon tempatan kerana lebih dikenali penduduk dan mudah memohon sebarang bantuan," katanya ketika ditemui di Seminar Peralihan Tenaga dan Kelestarian Alam di Napoh di sini pada Isnin.

Mengulas mengenai ura-ura kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kayu Hitam akan ditandingi oleh BN, Zainol Abidin berkata, sokongan daripada pengundi Pakatan Harapan juga akan membantu kemenangan di kerusi kawasan terbabit.

"Pada Pilihan Raya Umum ke -15 (PRU15), BN-UMNO mendapat 20.7 peratus undi bagi kawasan Bukit Kayu Hitam jadi pada PRN kali ini kita yakin ada potensi peratus ini ditingkatkan.

"Ditambah pula sokongan pengundi daripada rakan gabungan kita, Insya-ALLAH DUN Bukit Kayu Hitam boleh menang asalkan letak calon tempatan," katanya.

Zainol Abidin berkata, DUN Bukit Kayu Hitam memerlukan pemimpin yang selari dengan kerajaan Persekutuan untuk membolehkan ekonomi di sempadan dibangunkan dengan lebih pesat.

"Kawasan ini agak unik sebab berada bersempadan dengan Thailand, jadi pembangunan di situ juga perlu seiring dengan negara jiran," katanya.