Hampir 1,000 anggota, pegawai polis Melaka bantu PRN

Zainol Samah
Zainol Samah
A
A
A

MELAKA - Polis Melaka bersedia untuk menggerakkan kira-kira 30 peratus pegawai dan anggota untuk membantu kelancaran proses Pilihan Raya Negeri (PRN) di negeri-negeri yang terlibat.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, peratusan itu mewakili hampir 900 warganya terutama bertugas di negeri berhampiran atau sempadan Melaka sepanjang PRN berlangsung.

"Bantuan sumber manusia kita akan berikan bantuan kepada negeri-negeri yang akan adakan PRN.

"Bagaimanapun jumlah belum diputuskan lagi, kita diminta salurkan bantuan 30 peratus daripada kekuatan Polis Kontinjen Melaka," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis serah terima tugas jawatan Timbalan Ketua Polis Melaka di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di sini, pada Isnin.

Jelas beliau, Polis Melaka juga akan menyusun keperluan untuk program mahupun pengisian sempena Tahun Melawat Melaka (TMM) 2024, dalam masa sama memastikan usaha-usaha pencegahan jenayah dapat dilakukan secara berterusan.

Sebelum ini media melaporkan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Ghani Salleh mengumumkan enam negeri akan melaksanakan PRN serentak pada 12 Ogos depan termasuk Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

Menurut beliau, jumlah pengundi yang akan keluar membuang undi di enam negeri itu dianggarkan berjumlah kira-kira 9.7 juta orang.