Purata 15,000 kekosongan jawatan tetap setiap tahun

Zainal Rahim menandatangi plak perasmian pusat temu duga SPA di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Johor Bahru pada Isnin.
Zainal Rahim menandatangi plak perasmian pusat temu duga SPA di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Johor Bahru pada Isnin.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) menganggarkan purata kira-kira 15,000 kekosongan bagi perjawatan tetap yang perlu diisi setiap tahun.

Pengerusinya, Tan Sri Zainal Rahim Seman berkata, jumlah itu tidak termasuk lebih 40,000 kekosongan jawatan kontrak di pelbagai jabatan, kementerian dan agensi.

"Mengikut data Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), kakitangan awam pelbagai jawatan yang bersara setiap tahun lebih 25,000 orang dan adakalanya mencecah 30,000 orang.

"SPA akan mengambil kakitangan baharu mengikut keperluan agensi, jabatan dan kementerian. Namun kekosongan jawatan ini sentiasa naik dan turun," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melawat pusat temu duga SPA di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Johor Bahru, pada Isnin.

Ketika ditanya mengenai perjawatan baharu, Zainal Rahim berkata perkara tersebut bergantung kepada perancangan dan keperluan setiap kementerian.

Zainal Rahim (tiga dari kanan) mengadakan melawat pusat temu duga SPA di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Johor Bahru, pada Isnin.
Zainal Rahim (tiga dari kanan) mengadakan melawat pusat temu duga SPA di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Johor Bahru, pada Isnin.

"Dari segi perjawatan baharu pula, ia bergantung kepada portfolio kementerian masing-masing. Sebagai contoh, lantikan doktor kontrak kepada jawatan tetap yang hangat diperkatakan pada masa kini.

"Kementerian akan beritahu kekosongan jawatan kepada SPA, apabila sudah pasti jumlah kekosongan itu, perbincangan tentang syarat-syarat permohonan dan kelayakan akan dilakukan.

"SPA tidak boleh isi semua kekosongan kerana ia bersabit dengan keperluan kewangan. Namun kebijaksanaan merancang dengan kadar tertentu supaya fungsi dan peranan kementerian dapat dilaksana dengan baik,"katanya.

Dalam pada itu, pusat temu duga SPA Johor Bahru menjadi antara pusat temu duga yang menerima kunjungan calon paling ramai setiap tahun.

"Statistik SPA pada tahun 2020 sehingga Jun lalu, merekodkan sejumlah 472,947 permohonan daripada kalangan anak Johor.

"Daripada jumlah itu, seramai 32,478 telah dijemput hadir temu duga. Sebanyak 4,374 orang telah dilantik tetap dan 2,639 orang dilantik secara kontrak," katanya.