TNB tubuh pasukan siasat pekerja kontraktor maut dirempuh BMW

Laporan Sinar Harian pada Sabtu
Laporan Sinar Harian pada Sabtu
A
A
A

JOHOR BAHRU - Tenaga Nasional Berhad (TNB) menubuhkan pasukan bagi menyiasat kejadian seorang pekerja kontraktor terkorban dirempuh sebuah kereta BMW ketika membuat kerja-kerja penyelenggaraan kabel di Kluang pada Ahad.

Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan TNB dalam satu kenyataan memberitahu, siasatan berkenaan adalah selaras dengan dasar operasi syarikat yang memberi keutamaan kepada keselamatan.

"TNB akan bekerjasama dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membantu siasatan.

"PDRM dipetik sebagai melaporkan bahawa sebuah kereta BMW terbabas lantas merempuh sebuah kereta dan mesin pengorek (backhoe) di tepi jalan sebelum melanggar kedua-dua mangsa. Kes itu kini dalam siasatan pihak polis," menurut kenyataan itu.

TNB mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban dan juga bersimpati atas kejadian yang menimpa Allahyarham Muhammad Hirzan Aiman Mazni, 23, serta rakan sekerjanya, Amirul Haiqal Shor yang mengalami cedera ringan dan dirawat di Hospital Kluang.

"Kedua-dua mangsa adalah pekerja Syarikat JM Letrik Sdn Bhd yang sedang membuat kerja-kerja korekan di kawasan jalan berkenaan bagi tujuan untuk rentangan kabel," jelas kenyataan tersebut lagi.

Pada Sabtu, Muhammad Hirzan maut manakala Amirul cedera selepas dilanggar sebuah kereta BWM di Kilometer 83, Jalan Kota Tinggi-Kluang, Kluang.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kemalangan yang berlaku pada pada jam 3 petang itu mengakibatkan Muhammad Hizran meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah pada kepala dan badan.

ARTIKEL BERKAITAN: Pekerja kontraktor TNB maut, rakan cedera dilanggar BMW