Lelaki menyamar polis ditahan

Suspek menyamar sebagai anggota polis ditahan dalam Op Samseng Jalanan di Keningau. - Foto IPD Keningau
Suspek menyamar sebagai anggota polis ditahan dalam Op Samseng Jalanan di Keningau. - Foto IPD Keningau
A
A
A

KENINGAU - Seorang lelaki tempatan ditahan selepas bertindak menyamar sebagai anggota polis ketika Op Samseng Jalanan dilakukan di sekitar bandar ini pada Ahad.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang, suspek berusia 22 tahun ditahan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau.

Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintenden Nor Rafidah Kasim berkata, ketika ditahan suspek menggunakan pakaian preman dan vest warna hijau tertera tulisan 'polis'.

"Ketika diminta untuk menunjukkan identiti polis dan MyKad bagi tujuan pemeriksaan dan pengesahan, suspek gagal kemukakan kepada polis.

"Suspek kemudian dibawa ke IPD Keningau untuk tindakan selanjutnya," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Tambah Nor Rafidah, pasukan polis turut merampas beberapa barangan lain dan motosikal yang ditunggang suspek.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam," katanya.