Mainan politik 3R boleh binasakan negara

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KETIKA bahang pilihan raya negeri (PRN) makin terasa, maka para politikus pun makin rancak menjaja cerita untuk meyakinkan pengundi bahawa dia dan partinya yang paling bagus.

Bila terlalu ghairah bercakap terutamanya di pentas kempen dan disaksikan pula ramai penyokong, mulanya naik 'syeikh' sehingga terlupa batasan.

Isu agama, kaum dan raja-raja (3R) yang dijadikan topik berceramah sejak kebelakangan ini semakin menjadi-jadi dalam kalangan pemimpin politik. Mereka seperti seronok memainkan isu sensitif itu sedangkan tahu perkara berkenaan boleh mencetuskan kesan buruk kepada perpaduan dan ketenteraman negara.

Bagi sesetengah ahli politik, apa saja isu yang boleh berikan keuntungan dan dapat menarik undi akan digunakan sebaiknya.

Walaupun mereka sedar ada sesetengah isu itu cukup sensitif dan melanggar undang-undang yang ada. Tetapi matlamat politik menghalalkan cara mereka.

Perbuatan ini bukan hanya dilakukan oleh pihak pembangkang tapi ada juga pemimpin daripada parti yang membentuk kerajaan turut memainkan isu 3R. Bukan nak mengata sebelah pihak tetapi semua orang kena peka dengan apa juga isu yang mahu dijadikan modal ceramah politik.

Memanglah daripada satu sudut isu 3R ini akan memberi laba politik kepada pihak tertentu, seperti memainkan isu perkauman, mencetuskan semangat keagamaan dan memperlekehkan institusi diraja.

Bagaimanapun kesan buruknya terlalu besar kerana boleh menimbulkan perbalahan kaum, melaga-lagakan antara agama, menunggang Islam untuk politik dan membangkitkan kemarahan orang Melayu lain apabila kedudukan raja-raja dipertikaikan.

Jadi keuntungan politiknya hanya sedikit tetapi kerosakan yang boleh berlaku kepada rakyat dan negara terlalu besar. Kata pepatah, cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar dan jangan sebabkan pulut, santan pula binasa.

Berkempenlah secara matang, rasional dan beradab. Jangan terus bawa budaya politik sempit, politik perkauman dan politik emosi semata-mata nak meraih undi penyokong.

Pancinglah undi rakyat dengan tunjukkan bukti kelebihan, kewibawaan dan kecekapan menguruskan rakyat serta negara. Kalau rekod bagus dipamerkan, pastinya akan menambat hati rakyat pada PRN nanti.