Bot karam: Mangsa ke Pulau Menampilik untuk beli ikan - Polis

Operasi SAR seorang lagi kanak-kanak dimulakan di perairan Pulau Sipanggu hingga Pulau Karindingin, Semporna.
Operasi SAR seorang lagi kanak-kanak dimulakan di perairan Pulau Sipanggu hingga Pulau Karindingin, Semporna.
A
A
A

SEMPORNA - Empat mangsa bot karam di perairan Semporna pada Jumaat sebenarnya dalam perjalanan ke Pulau Menampilik untuk membeli ikan sebelum dijual semula di pekan.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, siasatan awal mendapati bot itu dilihat dalam keadaan terumbang-ambing sebelum karam dipukul ombak yang kuat.

"Terdapat empat mangsa dan mereka ke Pulau Menampilik untuk membeli ikan yang ingin dijual di pekan, namun akibat kejadian itu, seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun telah meninggal dunia.

"Seorang lagi kanak-kanak berusia tujuh tahun memakai t-shirt berwarna jingga dan berseluar pendek merah gelap hilang dalam kejadian itu.

"Dua lelaki yang selamat berusia 25 dan 28 tahun dikenal pasti sebagai bapa kepada dua kanak-kanak berkenaan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Bot yang dinaiki empat mangsa ditemui dan telah dibawa ke Pangkalan PPM Semporna.
Bot yang dinaiki empat mangsa ditemui dan telah dibawa ke Pangkalan PPM Semporna.

Mohd Farhan Lee berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lagi mangsa telah diaktifkan bersama Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Taman-Taman Sabah (TTS).

"Disebabkan keadaan cuaca yang tidak menentu kini, orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati semasa berada di laut," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Air Semporna Noorjali Maslah ketika dihubungi Sinar Harian memaklumkan, operasi SAR mangsa yang masih hilang dimulakan seawal jam 7 pagi Sabtu.

"Operasi SAR bersambung hari ini dan lokasi pencarian di sektor bebas sekitar Pulau Sipanggu hingga Pulau Karindingin," katanya.

Sinar Harian pada Jumaat melaporkan Padli Ampit, 7, hilang dalam kejadian itu manakala Nasirin Katibin, 7, disahkan meninggal dunia.

Terdapat dua mangsa lelaki terselamat iaitu bapa kepada kedua-dua mangsa, Ampit Gopek, 25 dan Katibin Husni, 28.

ARTIKEL BERKAITAN:

Bot karam: Kanak-kanak 7 tahun maut, seorang lagi hilang