Agong berkenan berangkat ke Eksesais Jungle Falcon

Al-Sultan Abdullah dan Mohamad (kanan) bertanyakan sesuatu kepada anggota TDM dan UAELF selepas Majlis Penutup Eksesais Jungle Falcon Siri 1/2023 di ladang sawit Felda Panching Selatan, Kuantan pada Ahad.
Al-Sultan Abdullah dan Mohamad (kanan) bertanyakan sesuatu kepada anggota TDM dan UAELF selepas Majlis Penutup Eksesais Jungle Falcon Siri 1/2023 di ladang sawit Felda Panching Selatan, Kuantan pada Ahad.
A
A
A

KUANTAN - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke demonstrasi akhir eksesais dan Majlis Penutup Eksesais Jungle Falcon Siri 1/2023 di ladang sawit Felda Panching Selatan di sini, pada Ahad.

Eksesais Jungle Falcon merupakan eksesais ketenteraan bilateral melibatkan Tentera Darat Malaysia (TDM) bersama United Arab Emirates Land Forces (UAELF).

Seri Paduka Baginda selaku ketua pemerintah tertinggi Angkatan Tentera Malaysia turut diiringi Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan Tengku Arif Bendahara, Tengku Muhammad Iskandar Ri'ayatuddin Shah.

Turut hadir, Komander UAELF, Mejar Jeneral Saeed Rashid Al Shehhi dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang serta Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Al-Sultan Abdullah turut menyaksikan demonstrasi peperangan oleh TDM bersama-sama UAELF dalam strategi menawan musuh dengan menggunakan aset ketenteraan milik TDM.

Dalam pada itu, baginda juga berkenaan beramah mesra dengan semua pegawai dan anggota TDM serta UAELF yang terlibat dalam eksesais terbabit.

Eksesais Jungle Falcon adalah salah satu kejayaan TDM dalam merealisasikan persefahaman ketenteraan yang telah dipersetujui pucuk pimpinan TDM bersama UAELF di Abu Dhabi, pada 31 Oktober tahun lalu.

Malah, eksesais itu juga berupaya membuka ruang kepada TDM untuk berkongsi kemahiran, pengalaman dan pengetahuan bersama dengan rakan strategik ketenteraan UAELF dalam aspek peperangan secara konvensional.

Sebelum itu, Al-Sultan Abdullah ketika bertitah berbangga dengan pencapaian dan berharap esksesais berkenaan dapat memberi kenangan berharga kepada mereka yang terlibat.

Baginda bertitah, pihak yang terlibat dapat berkongsi pengetahuan, pengalaman dan kemahiran serta kepakaran menerusi esksesais yang diadakan ini.

"Kita boleh berbangga di atas pelaksanaan cukup baik ini, walaupun eksesais ini berlaku (diadakan) dalam ladang kelapa sawit dan bukan di dalam hutan yang biasa kita bertempur satu ketika dahulu.

"Namun ini diharap dapat memberi sedikit sebanyak gambaran kepada tetamu dari UAELF dan saya begitu berbangga dengan pencapaian kita ini," titah baginda.