Kastam rampas 2.5 juta batang rokok ditinggal tepi jalan

Wan Jamal (kiri) menunjukkan sebahagian kotak mengandungi rokok seludup yang dirampas di Jalan Kuala Kemasin, Bachok.
Wan Jamal (kiri) menunjukkan sebahagian kotak mengandungi rokok seludup yang dirampas di Jalan Kuala Kemasin, Bachok.
A
A
A

KOTA BHARU - Jabatan Kastam Diraja Malaysia Kelantan mematahkan cubaan menyeludup rokok melalui pantai selepas merampas 2.5 juta batang rokok melibatkan jumlah cukai RM1.7 juta.

Pengarahnya, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, serbuan dilakukan kira-kira jam 1 pagi pada 11 Julai lalu di Jalan Kuala Kemasin, Bachok.

Beliau memberitahu, pasukan serbuan mendapati lori ditinggalkan di tepi jalan berkenaan dan pemeriksaan mendapati terdapat kotak-kotak mengandungi rokok dengan nilai keseluruhan RM208,000.

"Modus operandi yang digunakan penyeludup ialah melalui laluan laut dan berhenti di pesisir pantai sebelum dimuatkan ke dalam lori.

"Kita percaya lori muatan lima tan itu akan bergerak untuk pasaran tempatan termasuk pelanggan di Selangor dan Kuala Lumpur," katanya ketika sidang akhbar di sini pada Ahad.

Tambah beliau, pihaknya masih mengesan pemilik barang berkenaan dan siasatan diteruskan di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Jelas beliau, jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang daripada 10 kali nilai barang atau RM100,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih daripada 20 kali nilai barang atau RM500,000 yang mana lebih besar atau dipenjarakan tidak kurang enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.

Orang ramai juga boleh menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri.