Takut dimarahi ibu, remaja ditahan polis kena serangan panik

Seorang remaja lelaki terpaksa ditenangkan selepas terkena serangan panik ketika ditahan polis di Plaza Tol Seremban-Port Dickson pada Ahad.
Seorang remaja lelaki terpaksa ditenangkan selepas terkena serangan panik ketika ditahan polis di Plaza Tol Seremban-Port Dickson pada Ahad.
A
A
A

SEREMBAN - Gara-gara terlalu takut dimarahi ibu, seorang remaja mengalami serangan panik ketika ditahan dalam Operasi Samseng Jalanan di Plaza Tol Seremban-Port Dickson di sini pada Ahad.

Malah remaja berusia 18 tahun itu terpaksa dibaringkan dan ditenangkan oleh rakannya selepas beberapa kali memberitahu mahu pulang ke rumah kerana ibunya sedang menunggu.

Dia bagaimanapun terpaksa pulang dengan lapan 'surat cinta' daripada polis atas pelbagai kesalahan antaranya menggunakan aksesori motosikal yang tidak sempurna, tiada nombor pendaftaran dan tiada cermin belakang.

Rakannya yang dikenali sebagai Asrul memberitahu, mereka seramai 30 orang dalam perjalanan pulang ke Johor Bahru selepas menghadiri perjumpaan kumpulan motosikal di Rasah di sini.

"Perjumpaan itu jam 8.30 malam dan tamat jam 12 tengah malam. Kami memang nak balik sebab esok semua kerja.

"Tak sangka pula kena tahan dengan polis dan kawan saya ini pula memang tak pernah kena tahan macam ini, memang dia terkejutlah," katanya.

Turut serta dalam kumpulan konvoi terbabit iaitu lima remaja perempuan berusia awal 20-an.

Sebanyak 121 buah motosikal diperiksa dalam Operasi Samseng Jalanan di Plaza Tol Seremban-Port Dicksonpada Ahad.
Sebanyak 121 buah motosikal diperiksa dalam Operasi Samseng Jalanan di Plaza Tol Seremban-Port Dicksonpada Ahad.

Sementara itu, operasi yang bermula jam 3 pagi hingga 4.40 pagi itu dilakukan oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Seremban dan JSPT Ibu Pejabat Kontinjen Polis Negeri Sembilan.

Sebanyak 121 buah motosikal yang diperiksa dan 236 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

Kesalahan paling tinggi ialah tiada cermin sisi iaitu (37 kes) dan masalah aksesori serta tiada nombor plat kenderaan (34 kes).

Selain itu, enam buah motosikal telah disita dan tiga lelaki ditahan bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Jabatan Alam Sekitar Negeri Sembilan pula mengeluarkan sebanyak 11 saman atas kesalahan bunyi bising.