PRN: Jentera UMNO jangan berbelah bahagi bantu kempen PH

Jalaluddin (tiga dari kanan) dan Mohamad (empat dari kanan) ketika hadir pada program berkenaan.
Jalaluddin (tiga dari kanan) dan Mohamad (empat dari kanan) ketika hadir pada program berkenaan.
A
A
A

KUALA PILAH - Jentera UMNO Negeri Sembilan diminta agar tiada ada perasaan berbelah bahagi untuk turun berkempen bagi calon-calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, kemenangan yang diharapkan bukan sahaja daripada UMNO tetapi juga kesemua 19 kerusi yang ditandingi PH.

"Betul kita nak menang kesemua Dewan Undangan Negeri (DUN) tetapi kita jangan lupa tanggungjawab kita sebagai Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan, kita bantu jentera PH bagi memenangi kesemua kerusi yang mereka tandingi.

"Jangan rasa gusar, berbelah-bahagi kenapa kita nak membantu mereka dan sebagainya. Kita mesti memperkukuhkan tekad kerana demi landskap politik di Negeri Sembilan selepas PRN bagi tempoh lima tahun akan datang. Insya-Allah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada pada Majlis Penyerahan Bahagian Angkat Pilihan Raya Negeri Sembilan di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Jalaluddin berkata, apa-apa perkara yang boleh merosakan perasaan dan juga gerak kerja jentera UMNO dan BN perlu dielakkan.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan BN Negeri Sembilan akan bertanding di 17 kerusi DUN pada PRN ini termasuk satu kerusi tambahan di Lenggeng.

Menurut Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO, selain Lenggeng, 16 kerusi berkenaan adalah kerusi yang di menangi BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu manakala PH 19 kerusi.