Bekas Setiausaha Agung FDAM, Abdul Rahim meninggal dunia

No Image Caption
A
A
A

BEKAS Setiausaha Agung Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Datuk Abdul Rahim Awang meninggal dunia pada usia 75 tahun pada 1.05 tengah hari tadi di Hospital Sungai Buloh.

Isteri Allahyarham Norhafizah Mohd Omar, 46, berkata, suaminya dibawa ke hospital semalam selepas berasa tidak sihat.

Beliau berkata, sebelum itu mereka baru sahaja menghadiri majlis pengebumian Presiden FDAM, Allahyarham Ahmad Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Mat London yang juga bapa saudara suaminya.

"Datuk dikenali sebagai seorang yang tegas dan pada masa sama beliau juga seorang penyayang dalam kalangan anak muridnya yang terdiri daripada pelbagai kaum. Dalam industri pula Allahyarham sering menjadi rujukan dalam pelbagai perkara,” katanya di sini hari ini.

Jenazah Allahyarham dibawa ke surau Al-Furqan Bandar Puncak Alam dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Cerakah petang ini.

Sementara itu, Timbalan Presiden FDAM, Datuk Zulkifli M Osman berkata, pihaknya amat berdukacita atas permergian Abdul Rahim dan menyifatkannya sebagai satu kehilangan besar dalam industri.

"Saya pun tidak menyangka akan berita kematian Allahyarham kerana kami baru sahaja kehilangan Presiden FDAM, abang Mat London semalam.

"Allahyarham sekarang merupakan penasihat kepada FDAM dan beliau sebenarnya seorang yang banyak membantu dalam persatuan ini,” katanya.

Abdul Rahim juga merupakan penulis novel cerita seram dan antara buku tulisannya berjudul Bara, Boneka dan Jejak-Jejak Songsang. - Bernama