Bau hangit jadi penyelamat

Azizul menerima kunjungan daripada Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisoner Nurulhuda Mohd Salleh (kanan).
Azizul menerima kunjungan daripada Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisoner Nurulhuda Mohd Salleh (kanan).
A
A
A
KLANG - “Saya terjaga dari tidur selepas terhidu bau hangit sebelum lihat asap memenuhi bilik.”

Demikian menurut anggota trafik, Azizul Mohd Atan, 24, ketika menceritakan detik cemas terselamat dalam kebakaran, awal pagi kelmarin.

Katanya, dia panik selepas melihat api sedang marak di tingkat bawah rumah dua tingkat yang disewa bersama dua lagi rakannya.

“Bila saya turun ke bawah, api sudah marak dan bunyi cermin tingkap meletup. Asap sudah memenuhi rumah rumah menyebabkan saya sukar bernafas.

“Ketika itu saya agak panik kerana terperangkap seorang diri dalam rumah yang sedang marak. Saya cuba menjerit minta tolong tapi jeritan saya tak didengari.

“Mujur saya masih boleh berfikir dan segera hubungi bomba serta jiran terdekat untuk meminta bantuan. Saya pecahkan cermin tingkap untuk terjun selamatkan diri tapi tak boleh sebab ada grill,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.Menurutnya, dia bernasib baik kerana jirannya menjawab panggilan tersebut.

“Masa tu hanya Tuhan jer tahu perasaan saya. Saya fikir akan rentung seorang diri.

“Nasib baik jiran jawab panggilan dan mereka terpaksa pecahkan pintu utama. Mereka jerit suruh saya selamatkan diri sebab api makin marak.

“Saya terus capai toto untuk balut badan dan nekad tempuh api sebelum berlari keluar,” katanya.
Artikel Berkaitan:


Tambah Azizul, dia bersyukur selamat daripada kebakaran itu walaupun melecur di bahagian muka, tangan dan kaki.

“Akibat kejadian itu, muka sebelah kanan, telinga kiri, tangan dan kaki kanan melecur. Saya turut menerima 16 jahitan dijari gara-gara pecahkan pintu tingkap,” katanya dibenarkan pulang semalam.

Katanya lagi, dia meminta kebenaran doktor untuk mendapatkan rawatan susulan di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh.

“Senang sikit sebab orang tua saya di sana dan boleh jaga saya hingga sembuh. Memang di sini ada kawan-kawan boleh tengokkan tapi tak sama.

“Saya berterima kasih kepada semua ketua jabatan, pegawai, rakan-rakan serta jiran yang banyak membantu saya,” katanya yang lebih setahun berkhidmat di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Polis Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara.

Semalam, Sinar Harian melaporkan seorang anggota polis berpangkat konstabel melecur di bahagian muka, kedua-dua tangan dan kaki apabila rumah sewa dihuni bersama dua lagi rakan terbakar dalam kejadian di Taman Sungai Kapar Indah, di sini, kira-kira jam 3.30 pagi yang turut memusnahkan dua buah motosikal.