Kerajaan jamin bantu sekolah pondok berdaftar

Mohd Na,im (dua dari kanan) ketika hadir di Pondok Lubuk Tapah, Pasir Mas pada Jumaat.
Mohd Na,im (dua dari kanan) ketika hadir di Pondok Lubuk Tapah, Pasir Mas pada Jumaat.
A
A
A

PASIR MAS - Kerajaan memberi jaminan akan membantu pembangunan pusat pengajian pondok berdaftar di seluruh negara.

Perkara itu bagi memastikan supaya sekolah pondok akan terus memainkan peranan sebagai institusi yang terus mempertahankan dan mempamerkan keindahan Islam.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, kerajaan amat prihatin terhadap pembangunan sekolah-sekolah pondok bukan saja di negeri Kelantan, tetapi juga negeri-negeri yang lain.

“Jaminan daripada kerajaan Persekutuan untuk membantu sekiranya ada yang diperlukan oleh sekolah-sekolah pondok ini.

“Kita akan melihat kedudukan kewangan dan berbincang bagi memastikan kebajikan termasuk gaji guru-guru pondok, Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (Kafa), imam-imam terjaga,” katanya selepas Ramah Mesra bersama Ulama, Guru dan Pelajar Pondok Negeri Kelantan di Pondok Lubuk Tapah di sini pada Jumaat.

Mohd Na'im berkata, setakat ini, jumlah sekolah pondok berdaftar di seluruh negara sebanyak 304.

Menurutnya, digalakkan lebih banyak penubuhan institusi itu dilaksanakan dengan mengikut garis panduan yang sedia ada.

Kata beliau, anak-anak yang dihantar ke sekolah pondok-pondok berdaftar lebih mudah untuk diawasi berbanding di tempat tidak berdaftar.

“Kami galakkan agar institusi pondok berdaftar supaya mudah untuk kerajaan memberikan bantuan.

“Selainnya, jika anak-anak diletakkan di bawah penyeliaan pondok-pondok tidak berdaftar dan tidak ada satu metodologi kurikulum untuk mendidik mereka ini, dibimbangi akan menjadi pusat untuk keganasan,” ujarnya.