KPDN Kedah rampas lebih 19, 000 liter diesel

Anggota KPDN Kedah memeriksa tujuh unit IBC tank ditemui dalam serbuan di sebuah stor penyimpanan barang kawalan dipercayai bahan api diesel di Sungai Lalang, Sungai Petani pada Khamis.
Anggota KPDN Kedah memeriksa tujuh unit IBC tank ditemui dalam serbuan di sebuah stor penyimpanan barang kawalan dipercayai bahan api diesel di Sungai Lalang, Sungai Petani pada Khamis.
A
A
A

ALOR SETAR - Lebih 19,000 liter minyak diesel dirampas dalam serbuan di sebuah stor penyimpanan barang kawalan di Sungai Lalang, Sungai Petani, dekat sini, pada Khamis.

Pengarah Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah, Affendi Rajini Kanth berkata, serbuan bermula jam 5 petang itu dilakukan hasil sumber risikan KPDN Kedah.

Menurutnya, semasa serbuan dilakukan ke atas stor terbabit mendapati pagar berkunci dan tiada penghuni.

"Hasil pemeriksaan menemui tujuh unit IBC tank (intermediate Bulk Container) dan satu unit 'skid tank' berisi minyak disyaki diesel dengan anggaran sebanyak 19,485 liter dan peralatan lain disyaki digunakan untuk aktiviti penyelewengan.

"Nilai rampasan minyak diesel dianggarkan berjumlah RM41,892.75 manakala jumlah keseluruhan nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM65,842.75," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sehubungan itu, Affendi memaklumkan, siasatan dijalankan dibawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Beliau berkata, KPDN memberi amaran keras dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam sindiket dan aktiviti penyelewengan barang kawalan ini.

Tambah Affendi, tindakan tegas akan diambil termasuklah mendakwa individu terlibat di mahkamah berdasarkan peruntukan undang-undang di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) dan Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) (Akta 613).

"Kita sentiasa komited dan akan bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan berkaitan bagi mempergiat serta mempertingkatkan kawal seliaan dan operasi ke atas pengedaran barang-barang kawalan di seluruh negara.

"Ia bagi memastikan bekalan barang kawalan untuk kegunaan rakyat Malaysia sentiasa mencukupi dan tidak berlaku ketirisan yang seterusnya akan merugikan negara,"katanya.

Beliau memaklumkan, KPDN sentiasa memperkasakan penguatkuasaan tegas di semua peringkat, kawasan dan lokaliti termasuk kawasan kepulauan, kawasan sempadan, kawasan perindustrian/eksport, kawasan bandar serta di luar bandar.

Tambahnya lagi, KPDN serius dalam membanteras isu penyelewengan barang kawalan bersubsidi seperti minyak diesel diberikan kerajaan.