Empat ditahan, bot, hasil laut 800kg dirampas

Anggota Maritim Malaysia Kedah dan Perlis menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas C disyaki melanggar syarat sah lesen di kedudukan 6.9 batu nautika selatan Pulau Ajar Langkawi pada Khamis.
Anggota Maritim Malaysia Kedah dan Perlis menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas C disyaki melanggar syarat sah lesen di kedudukan 6.9 batu nautika selatan Pulau Ajar Langkawi pada Khamis.
A
A
A

LANGKAWI - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kedah dan Perlis menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas C disyaki melanggar syarat sah lesen di kedudukan 6.9 batu nautika selatan Pulau Ajar Langkawi, di sini pada Khamis.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, bot Maritim Malaysia sedang melakukan rondaan rutin dan penguatkuasaan sekitar perairan Langkawi telah menahan bot nelayan itu pada jam 11 pagi.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati bot nelayan dikendalikan tekong iaitu lelaki warga tempatan bersama tiga awak-awak terdiri daripada seorang warga Thailand dan dua warga Kemboja berusia lingkungan 34 hingga 72 tahun.

"Bot nelayan terbabit disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen dengan salah seorang dari awak-awak bot nelayan tidak mempunyai pasport.

"Selain itu, bot nelayan terbabit didapati tidak menyediakan alat pemadam api kecil seperti disyaratkan di dalam lesen," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Romli berkata, bot, tekong dan kru serta hasil tangkapan dianggarkan seberat 800 kilogram (kg) ditahan dan dibawa ke Jeti Maritim Bukit Malut, Langkawi untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia bagi siasatan lanjut.

Beliau berkata, Maritim Malaysia memandang serius terhadap operasi penguatkuasaan di laut dan akan mengambil tindakan tegas kepada individu yang melakukan aktiviti jenayah di perairan negara.

PIhaknya turut meminta sebarang aduan dan maklumat mengenai kegiatan jenayah maritim serta kecemasan di laut menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis di talian 04-9662750 atau di talian kecemasan MERS 999 untuk tindakan segera.