PRN: MCA Negeri Sembilan akui terkilan, tapi akur

Laporan Sinar Harian pada 5 Julai lalu. Gambar kecil: Koi Voon
Laporan Sinar Harian pada 5 Julai lalu. Gambar kecil: Koi Voon
A
A
A

SEREMBAN - MCA Negeri Sembilan mengakui sedikit terkilan keputusan parti itu untuk tidak bertanding pada pilihan raya negeri (PRN), 12 Ogos depan.

Pengerusi MCA Negeri Sembilan, Siow Koi Voon berkata, bagaimanapun mereka akur dan memilih untuk menghormati apa saja keputusan parti berhubung perkara itu.

"Saya tak nafikan ada sedikit perasaan kecewa kerana sebelum ini kita sudah mesyuarat banyak kali dan menyatakan pendirian tegas mahu bertanding.

"Hasrat kita jelas kerana mahu MCA turut mempunyai peranan sebagai rakan gabungan Barisan Nasional (BN) tapi sebagai ahli parti, kita kena akur apa saja yang telah diputuskan oleh parti," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Beliau bagaimanapun menolak dakwaan pelbagai pihak mengenai kemungkinan berlakunya undi protes dalam kalangan ahli MCA pada hari pengundian nanti.

Beliau berkata, pihaknya akan memastikan jentera MCA negeri itu membantu memastikan kemenangan UMNO seperti mana diminta oleh parti.

Untuk rekod, calon MCA di Negeri Sembilan tewas di semua kerusi yang ditandingi parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Sebelum ini media melaporkan MCA tidak akan bertanding pada PRN di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

Setiausaha Agungnya, Datuk Chong Sin Woon, berkata, MCA sebaliknya akan menumpukan kepada persediaan menghadapi PRU16, selain melaksanakan pembaharuan dan kebangkitan semula parti itu.