Dua penjenayah dicekup selepas mencuri

No Image Caption
A
A
A

KAJANG - Dua penjenayah yang baru selesai melakukan jenayah curi diberkas dengan rampasan dadah di Batu 18 Hulu Langat, dekat sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, suspek lelaki yang sedang menaiki sebuah kenderaan itu diberkas kira-kira jam 2.15 petang oleh sepasukan pegawai dan anggota D4 Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang dan Balai Polis Batu 18.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati seorang suspek ialah warga asing.

"Pemeriksaan yang dijalankan menjumpai barang disyaki hasil dicuri seperti dua unit pam air, mesin pemotong kayu (3), generator (1) dan mesin pemotong rumput (5).

"Polis turut menjumpai 10 peket plastik lut sinar berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu dianggar bernilai RM6,385," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Beliau berkata, saringan air kencing terhadap suspek berusia 40 dan 43 tahun itu didapati positif dadah.

Katanya, suspek kini direman tujuh hari sehingga 18 Julai untuk siasatan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana melakukan kegiatan curi dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ujarnya, kejayaan ini merupakan satu usaha polis dan kerjasama daripada orang awam dalam mencegah aktiviti jenayah di daerah Kajang khususnya.

"Orang ramai khususnya di daerah Kajang, jika mempunyai sebarang maklumat berkaitan dadah atau jenayah boleh memaklumkan terus kepada pihak IPD Kajang di talian 03-89114222 atau Pusat Kawalan Daerah (DCC) IPD Kajang di talian 03-89114242," ujarnya.