STPM: 160 calon di Johor dapat PNGK 4.00

Calon STPM Kolej Tingkatan Enam Pontian di Taman Megah, yang mendapat PNGK 4.00.
Calon STPM Kolej Tingkatan Enam Pontian di Taman Megah, yang mendapat PNGK 4.00.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2022 di negeri ini menyaksikan seramai 160 calon mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00.

Pengarah Pendidikan Negeri Johor, Md Said Md Daimon berkata, keputusan itu menunjukkan peningkatan berbanding 123 calon yang direkodkan mendapat PNGK 4.00 pada STPM 2021.

"Pencapaian keseluruhan calon STPM 2022 menunjukkan peningkatan apabila PNGK STPM 2022 ialah 2.93 mengatasi PNGK Kebangsaan iaitu 2.82.

"Dari segi pencapaian PNGK calon secara keseluruhan, peratusan kelompok calon STPM 2022 pada PNGK 3.75 hingga 3.99 ialah 7.96 peratus), PNGK 3.00 hingga 3.74 (37.72 peratus), PNGK 2.75 hingga 2.99 (13.55 peratus), dan PNGK 2.00 hingga 2.74 (27.23 peratus).

"Mengikut peratusan bilangan calon pada PNGK yang telah disebut ini, mereka dijangka tiada halangan lebih ramai calon lepasan STPM 2022 diterima masuk ke Universiti Awam pada tahun ini," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Md Said berkata, bagi calon yang mendapat 5A dalam kelima-lima mata pelajaran yang diambil pula, seramai lima calon manakala bilangan calon yang mengambil empat mata pelajaran dan mendapat 4A adalah seramai 147 calon.

Katanya, perbezaan jurang pencapaian antara calon bandar dengan calon luar bandar adalah sebanyak 0.09 dengan calon bandar mendapat PNGK 2.91, manakala calon luar bandar mendapat PNGK 3.00.

"Dalam pada itu, peratusan calon STPM 2022 yang mendapat lulus penuh dalam lima dan empat mata pelajaran adalah 79.10 peratus berbanding 75.04 peratus pada 2021," katanya.