PRN: Penyokong Najib didakwa beralih sokongan

Syed Muhammad Imran (kiri) dakwa penyokong bekas Najib akan mengalihkan sokongan kepada PN pada pilihan raya negeri Ogos depan. - Foto fail Awani/ Bernama
Syed Muhammad Imran (kiri) dakwa penyokong bekas Najib akan mengalihkan sokongan kepada PN pada pilihan raya negeri Ogos depan. - Foto fail Awani/ Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Pengerusi Pertubuhan Jalinan Perpaduan Negara Malaysia, Syed Muhammad Imran Syed Abdul Aziz mendakwa penyokong bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengalihkan sokongan kepada Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya negeri (PRN) Ogos depan.

Ujarnya, tindakan itu diambil selepas kecewa dengan layanan Kerajaan Madani terhadap keadilan untuk Najib yang dikatakan tidak ditegakkan.

"Saya memberi semboyan seluruh penyokong ‘bossku’ akan sokong PN pada PRN akan datang," katanya menerusi rakaman video yang dimuat naik di dalam TikTok.

Syed Muhammad Imran yang juga Ketua Cawangan UMNO Kampung Melayu Batu Caves Selatan mendakwa, beliau dan beberapa ahli UMNO lain turut kecewa dengan Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan ketua-ketua bahagian kerana tidak berdiri untuk menegakkan keadilan kepada Najib.

"Ketua-ketua bahagian UMNO sepatutnya berdiri tegak, tetapi kamu tak buat.

"Kami hilang kepercayaan, ulasan anak Najib yang beritahu perlu menyokong Kerajaan Perpaduan tidak tepat sama sekali," katanya.

Najib kini sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang selepas gagal dalam rayuan terakhirnya di Mahkamah Persekutuan untuk mengetepikan sabitan, hukuman dan denda terhadap tujuh pertuduhan.

Pada 28 Julai 2020, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mensabitkan Najib terhadap tujuh tuduhan melibatkan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana SRC International Sdn Bhd dan dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun serta dikenakan denda berjumlah RM210 juta.

Sabitan dan hukuman terhadap Najib kemudian dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Sebelum ini, Ketua UMNO Bahagian Langkawi yang juga anak Najib, Datuk Mohd Nazifuddin memberitahu, sokongan umum dan akar umbi terhadap bapanya adalah besar dan mungkin melebihi sokongan kepada parti UMNO sendiri.

Beliau menjangkakan terdapat sebilangan penyokong Najib yang tidak keluar mengundi ataupun memberikan undi kepada pihak lawan pada PRN.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Ogos depan sebagai hari mengundi PRN yang diadakan serentak melibatkan enam negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan, serta Terengganu.

Sementara tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 29 Julai dan 8 Ogos.