Sanggup berlari tinggalkan makanan untuk selamatkan 60 sen

Sekarang sudah ada aplikasi di telefon bimbit memudahkan orang ramai membayar caj parkir. - Gambar hiasan
Sekarang sudah ada aplikasi di telefon bimbit memudahkan orang ramai membayar caj parkir. - Gambar hiasan
A
A
A

TERKEJUT Merak Jalanan ketika bersarapan pagi di sebuah restoran. Tiba-tiba beberapa pelanggan di restoran itu bangun dan meluru keluar dari restoran tersebut. Ada antara mereka belum pun sempat jamah makanan di atas meja.

Merak Jalanan ingatkan apalah yang berlaku di luar sana. Rupa-rupanya beberapa anggota penguat kuasa majlis bandaraya lengkap beruniform sedang meronda dan mengeluarkan kompaun terhadap mana-mana kenderaan yang tidak membayar parkir.

Rupa-rupanya pelanggan bergegas keluar restoran itu sebab mereka tidak membayar parkir dan bimbang dikompaun.

Merak Jalanan tak pasti sama ada mereka lupa bayar, atau sengaja tidak mahu bayar. Kalau nak kata mahal, taklah sangat, cuma 60 sen sejam. Kalau nak kata susah nak buat bayaran, sekarang sudah ada aplikasi di telefon bimbit memudahkan orang ramai bayar.

Tidak perlu lagi beli kupon atau mencari duit siling untuk masukkan dalam mesin parkir seperti dulu.

Cuma Merak Jalanan lihat, memang sikap sesetengah kita yang sengaja mengambil peluang untuk berjimat. Walaupun sekadar 60 sen, tapi bagi mereka jika berjaya tidak membuat bayaran, satu keuntungan buat mereka.

Berbalik pada kisah pelanggan di restoran tadi, Merak Jalanan tersenyum sendiri kerana yang bergegas keluar bukan untuk menjelaskan bayaran parkir, tetapi merayu kepada anggota penguat kuasa supaya tidak mengeluarkan kompuan. Alasannya, mereka meletak kereta untuk tempoh sekejap sahaja.

Kalau nasib baik, mungkin ada penguat kuasa yang bertolak ansur, tapi kalau ada yang tegas, terpaksalah menyediakan RM30 untuk bayar kompaun.

Bagaimanapun, Merak Jalanan hairan, kenapa tak bayar sahaja dan menikmati hidangan di restoran dengan aman.

Rasanya tak berbaloi bersusah payah berlari meninggalkan makanan di atas meja semata-mata kerana 60 sen.