'Malaysia fokus inflasi, stabilkan harga barang' - Rafizi

Rafizi - Foto Bernama
Rafizi - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Malaysia menumpukan kadar inflasi bagi memastikan kestabilan harga barang keperluan, kata Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

Menurut beliau, setiap negara mempunyai pendekatan berbeza berhubung perkara berkenaan.

"Namun bagi Malaysia, kerajaan fokus kepada kadar inflasi yang stabil," katanya dalam kenyataan di Twitter.

Sementara itu, Rafizi yang juga Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), kesal dengan tindakan Perikatan Nasional (PN) yang dilihat cuba memprovokasikan mengenai ekonomi negara hancur disebabkan ketidakstabilan inflasi.

Rafizi berkata, pihak Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor turut memainkan peranan bagi memperlihatkan bahawa kerajaan gagal untuk mentadbir dengan memainkan isu mata wang negara.

"Macam mana pula ekonomi negara hancur? inflasi paling rendah dalam tempoh setahun. Ekonomi berkembang baik berbanding negara lain.

"Kalau ikut bank negara, ekonomi kita diunjurkan terus berkembang daripada empat hingga lima peratus iaitu antara pertumbuhan yang paling baik di rantau ini.

"Jadi di mana yang kata ekonomi telah hancur. Gaji masih lagi berjalan dan bulan depan kita mula berbincang gaji progresif supaya gaji rakyat dinaikkan secara berperingkat," katanya.