Al-Nassr tidak boleh daftar pemain baharu

Al-Nassr memulakan revolusi bola sepak Arab Saudi apabila merekrut Ronaldo dengan kontrak £173 juta setahun pada Disember 2022.
Al-Nassr memulakan revolusi bola sepak Arab Saudi apabila merekrut Ronaldo dengan kontrak £173 juta setahun pada Disember 2022.
A
A
A

KELAB Liga Pro Saudi, Al-Nassr yang menggunakan khidmat Cristiano Ronaldo dikenakan larangan mendaftar pemain baharu oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Al-Nassr, menduduki tempat kedua Liga Pro Saudi musim lalu, memulakan revolusi bola sepak Arab Saudi apabila merekrut Ronaldo dengan kontrak £173 juta setahun pada Disember 2022.

Revolusi itu kemudian dijejaki beberapa kelab Timur Tengah yang menyaksikan kehadiran gerombolan pemain berstatus bintang seperti Karim Benzema, Ruben Neves, N'Golo Kante, Kalidou Koulibaly dan Edouard Mendy.

Legenda England dan Liverpool, Steven Gerrard pula menjadi pengurus baharu Al Ettifaq biarpun menolak pelawaan pertama sebelum ini.

Al-Nassr membawa masuk kelibat Marcelo Brozovic daripada finalis Liga Juara-Juara Inter Milan, namun urusan perpindahan berkemungkinan dilakukan pada masa hadapan.

FIFA telah melarang kelab daripada mendaftarkan pemain baharu, sama ada perpindahan domestik atau antarabangsa.

Hukuman untuk tiga jendela perpindahan berikutan kegagalan kelab itu membayar bonus tambahan RM2.3 juta termasuk faedah kepada Leicester selepas penyerang Nigeria, Ahmed Musa menyertai mereka pada 2018.

Musa yang hanya menjaringkan lima gol untuk Leicester, namun menjaringkan 14 kali dalam 62 perlawanan untuk Al-Nassr, membantu kelab itu memenangi liga pada musim 2018/19.

Keputusan awal FIFA dibawa balik pada 2021 sebelum disokong Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS), yang memihak kepada Leicester mengenai perkara itu.

Al-Nassr diberitahu untuk membayar baki bayaran seperti yang dipersetujui dalam terma kontrak, atau mereka akan menerima larangan pemindahan.

Sebaliknya Al-Nassr tidak mematuhinya, menyaksikan kelab itu dikenakan tindakan disiplin, walaupun penggantungan itu dikatakan akan ditarik balik apabila kelab menegaskan akan membayar dengan segera.

Dengan pelaburan baharu Dana Pelaburan Awam Arab Saudi (PIF) Arab Saudi, Al-Nassr berharap struktur baharu dan kewangan kelab dipertingkatkan bagi memastikan isu itu tidak berulang.

Pada November, Al-Nassr terpaksa membayar denda kepada pemain tengah Brazil, Petros atas pertikaian berhubung kontraknya yang ditamatkan.