Guru taska tak mengaku cuai

Esther Christina mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dikenakan ke atasnya di Mahkamah Majistret Ipoh di sini pada Rabu.
Esther Christina mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dikenakan ke atasnya di Mahkamah Majistret Ipoh di sini pada Rabu.
A
A
A

IPOH - Seorang guru taska dihadapkan di Mahkamah Majistret Ipoh pada Rabu kerana cuai terhadap seorang kanak-kanak yang lemas di dalam kolam renang pada April lalu.

Tertuduh Esther Christina Samuel Ponniah, 58, melakukan kesalahan itu pada 17 April 2023 pada jam 10.20 pagi di Kolam Renang Centro Club, Jalan Sri Klebang 2, Bandar Baru Sri Klebang di sini.

Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai orang yang bertanggungjawab menjaga seorang kanak-kanak lelaki, V Thanes Nair, 4, telah meninggalkan kanak-kanak itu tanpa pengawasan dan pemeliharaan untuk satu tempoh yang tidak berpatutan.

Kesalahan tersebut didakwa di bawah Seksyen 33(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh yang faham pertuduhan dibacakan di dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah.

Hakim Jesseca Daimis kemudiannya menetapkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin bagaimanapun peguam tertuduh, Gary Xavier meminta jumlah tersebut dikurangkan.

Alasan diberikan Gary kerana tertuduh merupakan seorang ibu tunggal yang baru kematian suami tiga bulan lalu dan mempunyai gaji bulanan RM2,200 sebagai guru selain terpaksa menanggung ibunya.

Mahkamah kemudiannya bersetuju mengenakan jaminan sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin manakala 23 Ogos depan ditetapkan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sementara itu pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Syahirah Azahar.

Pada 23 April lalu, kanak-kanak lelaki berkenaan meninggal dunia setelah enam hari dirawat di Unit Rawatan Rapi Pediatrik Hospital Raja Permaisuri Bainun.

Ahli keluarga kanak-kanak terbabit pada Isnin bertindak berjalan kaki kira-kira 14 km dari Bandar Sri Klebang hingga ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini bagi menuntut keadilan atas kematian mendiang.

Video mengenai tindakan ahli keluarga kanak-kanak terbabit turut tular di media sosial.

Dalam pada itu, pihak Polis menafikan dakwaan bahawa pihaknya tidak menjalankan siasatan secara telus, terhadap kes berkenaan seperti yang tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata pihaknya mengesan satu video berdurasi 30 saat di Facebook milik Sathruhan Manian pada Selasa, berhubung dakwaan itu yang menarik perhatian masyarakat umum.