Ibu tunggal hidap talasemia cekal besarkan tiga anak

A
A
A

JOHOR BAHRU - Tidak dapat dibayangkan kesukaran dilalui seorang ibu tunggal, Maznah Mohd Yusof yang menghidap talasemia membesarkan tiga orang anak berusia 14 hingga 11 tahun tanpa sumber pendapatan tetap.

Maznah, 36, berkata penyakitnya itu mula diketahui lapan tahun lalu, selepas demam dan kerap pengsan akibat sel darah merah yang tidak normal.

Akuinya pelbagai pekerjaan dilakukan termasuk bekerja kerani hotel dan kilang, namun ia tidak bertahan kerana dirinya kerap pengsan dan letih.

Namun Maznah tetap tidak berputus asa mencari rezeki dengan membantu rakannya menjaga kedai serbaneka dengan upah RM300 sebulan selepas berpisah dengan suami pada 2015.

Mas Imran menyerahkan sumbangan kepada Maznah di Kampung Melayu Majidee pada Selasa.
Mas Imran menyerahkan sumbangan kepada Maznah di Kampung Melayu Majidee pada Selasa.

Demi kelangsungan hidup, Maznah tekad berpindah ke Benut, Pontian demi mendapatkan rumah pada kadar sewa yang lebih rendah berbanding di bandaraya Johor Bahru.

"Saya berpindah ke Benut pada akhir bulan lalu dan mendapat rumah sewa pada kadar RM400 sebulan. Namun, sehingga kini saya masih gagal mendapat pekerjaan di sana.

"Akhirnya saya kembali semula ke Johor Bahru dengan harapan ada rezeki buat anak-anak. Saya juga akan kembali mencari kerja di sini.

"Selain itu saya juga berhasrat memohon bantuan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) untuk memudahkan urusan mendapatkan rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR)," katanya ketika ditemui di Kampung Melayu Majidee pada Selasa.

Maznah (kiri) menghidap talasemia cekal membesar tiga orang anak tanpa pendapatan yang tetap.
Maznah (kiri) menghidap talasemia cekal membesar tiga orang anak tanpa pendapatan yang tetap.

Sementara itu, Pegawai Jejak Asnaf MAINJ, Nasir Ishak memberitahu, bantuan kewangan Baitulmal keluarga Maznah sebanyak RM300 sudah disalurkan sejak dua tahun lalu.

Ujarnya, Maznah dan anak-anaknya akan dibantu supaya mendapat sebuah rumah PPR di kawasan Johor Bahru.

Selain itu, keluarga berkenaan turut menerima bantuan barangan keperluan harian sebanyak RM500 yang disampaikan Pengurus Besar Econsave, Mas Imran Adam.

Orang ramai yang ingin tampil membantu Maznah boleh menghubunginya ditalian 013-9378994 atau menyalurkan sumbangan terus ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) miliknya 0110029000835004.