Tingkat inovasi, teknologi mampu jana ekonomi lebih baik

Chin Tong (dua kiri) mendengar taklimat dari peserta Si2TE 2023 di SIRIM Kulim pada Selasa.
Chin Tong (dua kiri) mendengar taklimat dari peserta Si2TE 2023 di SIRIM Kulim pada Selasa.
A
A
A

KULIM - Kecekapan inovasi dan penggunaan teknologi tinggi khususnya dalam sektor pembuatan mampu meningkatkan kualiti dan produktiviti sekali gus menjana ekonomi negara ke arah lebih baik.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong berkata, ia perlu bagi memastikan negara tidak bergantung sepenuhnya kepada tenaga kerja kurang mahir.

"Kita perlu inovasi untuk menjana ekonomi selaras penggunaan teknologi dalam bidang perindustrian supaya tidak bergantung kepada buruh kurang mahir...dengan adanya inovasi, teknologi dan kemahiran tinggi, baru boleh bayar gaji lebih tinggi kepada rakyat,"katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) Invention, Innovation and Technology Expo (Si2TE) 2023 di sini pada Selasa.

Ekspo yang bermula 10 hingga 12 Julai di SIRIM Kulim itu turut mempertandingkan beberapa anugerah.
Ekspo yang bermula 10 hingga 12 Julai di SIRIM Kulim itu turut mempertandingkan beberapa anugerah.

Hadir sama, Pengerusi SIRIM Berhad, Datuk Ir (Dr) Khairol Anuar Mohamad Tawi dan Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SIRIM Berhad, Datuk Dr Ahmad Sabirin Arshad.

Dalam pada itu, Chin Tong turut berharap agar penggunaan dan keupayaan teknologi dalam sektor pembuatan, selari dengan perkembangan situasi semasa.

"Asas masalah kita iailah gaji terlalu rendah, teknologi ketinggalan...kita perlu tingkatkan teknologi agar rakyat Malaysia dapat kerja dengan gaji setimpal dalam masa sama, ekonomi boleh pacu ke arah lebih tinggi,"katanya.

Bagaimanapun, jelasnya, usaha itu perlu dilaksanakan semua pihak.

Dalam perkembangan berbeza, Khairol Anuar berkata, sebanyak 284 penyertaan Si2TE 2023 diterima termasuk dari sekolah rendah, menengah, institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta peserta dari bidang profesional seluruh negara.

Menurutnya, Program Si2TE adalah platform terbaik untuk menggalakkan budaya inovasi dalam kalangan rakyat Malaysia agar terus menghasikan produk berkualiti selain melahirkan generasi berpengetahuan tinggi dan berdaya inovasi dalam menghadapi cabaran teknologi yang lebih kompleks.

Ekspo yang bermula 10 hingga 12 Julai di SIRIM Kulim itu turut mempertandingkan beberapa anugerah antaranya Si2TE Best of the Best; Pencipta Muda Terbaik kategori Sekolah Rendah; Pencipta Muda Terbaik Kategori Sekolah Menengah; Anugerah Terbaik TVET; dan Anugerah Terbaik Profesional.