Cameron tetap bangga aksi Malayan Tigress

Skuad muda wanita negara gagal melangkah ke separuh akhir Kejohanan AFF.
Skuad muda wanita negara gagal melangkah ke separuh akhir Kejohanan AFF.
A
A
A

KETUA jurulatih skuad wanita bawah 19 (B-19) tahun negara, Cameron Ng tidak kecewa walaupun langkah pasukannya terhenti di peringkat kumpulan dalam kejohanan AFF B-19 tahun.

Vietnam menyekat hasrat Malaysia untuk mara ke pusingan seterusnya selepas membelasah Malayan Tigress 0-6 dalam aksi yang berlangsung di Stadium Gelora Sriwijaya, Jakabaring, Indonesia pada Isnin.

Menurut Cameron, beliau mengaku Vietnam merupakan lawan sukar untuk ditundukkan dan menegaskan para pemainnya telah memberikan yang terbaik untuk memberikan saingan kepada pasukan tersebut.

"Saya kecewa dengan keputusan ini tetapi tak boleh salahkan pemain, mereka dah berikan segala-galanya di atas padang dan mengikut segala arahan saya.

"Kami tidak menyesal kerana tewas dengan pasukan yang lebih bagus.Kita harus terima bahawa Vietnam merupakan pasukan yang lebih kuat dan buat masa ini kita tidak cukup bagus untuk menewaskan mereka,"katanya.

Skuad negara yang berada dalam Kumpulan B memulakan kempen kejohanan AFF tersebut dengan langkah kanan selepas menewaskan Singapura 1-0 pada Sabtu.

Namun, momentum tersebut gagal diteruskan dengan Vietnam terlalu kuat menerusi enam jaringan yang memusnahkan harapan negara ke pusingan seterusnya.

Kekalahan besar itu menutup peluang Malaysia untuk mara ke separuh akhir sebagai pasukan tempat kedua terbaik apabila berada di belakang Myanmar dan Kemboja dari segi perbezaan jaringan.

Vietnam yang menjadi juara Kumpulan B mara ke separuh akhir diikuti oleh Indonesia selaku juara Kumpulan A dan wakil Kumpulan C iaitu Thailand dan Myanmar.