Panda gergasi lahir anak kembar di Korea Selatan

Seekor panda gergasi yang dipajak oleh China kepada Korea Selatan tujuh tahun lepas, melahirkan anak panda kembar pertama di negara itu. - Gambar sumber internet
Seekor panda gergasi yang dipajak oleh China kepada Korea Selatan tujuh tahun lepas, melahirkan anak panda kembar pertama di negara itu. - Gambar sumber internet
A
A
A

SEOUL - Seekor panda gergasi yang dipajak oleh China kepada Korea Selatan tujuh tahun lepas, melahirkan anak panda kembar pertama di negara itu minggu lalu, menurut Taman Tema Everland pada Selasa.

Panda betina itu, Ai Bao yang berusia sembilan tahun, melahirkan anak kembar betina masing-masing seberat 180 gram dan 140 gram pada Jumaat.

Everland, taman tema terbesar di Korea Selatan, terletak di Yongin, kira-kira 40 kilometer (km) ke selatan Seoul, lapor Xinhua.

Korea Selatan menyaksikan kelahiran pertama anak panda gergasi, bernama Fu Bao, pada Julai 2020.

Menurut Everland, Ai Bao dan kedua-dua bayinya berada dalam keadaan baik. Ai Bao mengawan semula jadi dengan Le Bao, 10 tahun, pada pertengahan Februari.

Panda gergasi diketahui jarang hamil kerana musim pembiakan mereka hanya berterusan selama satu hingga tiga hari setahun, kebiasaannya pada musim bunga.

Anak kembar itu tidak akan dipamerkan kepada orang ramai buat masa ini. Lazimnya, seekor anak panda memerlukan tempoh lima hingga enam bulan untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran luaran.

Pihak Everland akan menayangkan gambar dan video bayi panda melalui saluran SNSnya.

Pasangan panda gergasi itu tiba di Korea Selatan pada Mac 2016 dengan pajakan selama 15 tahun. Nama mereka, Le Bao dan Ai Bao, bermaksud khazanah yang menyenangkan dan indah.

Everland membina Panda World seluas 3,300 meter persegi untuk menempatkan spesies terancam itu. Spesies panda berada dalam ancaman kepupusan tetapi memperoleh populariti kerana rupa yang cantik dan jarang ditemui di dunia.

Kira-kira 14 juta pengunjung Melawat Panda World untuk melihat keluarga panda, menurut Everland.

Panda dipajak kepada Korea Selatan untuk tujuan penyelidikan bersama. China sebelum ini meminjamkan sepasang panda kepada Korea Selatan pada 1994. - Bernama