Postecoglou percaya dapat yakinkan Kane

Kane
Kane
A
A
A

PENGENDALI baharu Tottenham Hotspur, Ange Postecoglou berharap visinya untuk kelab Liga Perdana Inggeris itu dapat meyakinkan pemain Harry Kane untuk kekal bersama The Spurs dalam memacu semula era kegemilangan pasukan London tersebut.

Namun bagaimanapun, bekas pengurus kelab Liga Perdana Scotland, Celtic berusia 57 tahun itu mengakui dia tidak memberi sebarang jaminan terhadap masa depan penyerang tersebut.

Sebagai rekod, Kane merupakan penjaring terbanyak Spurs, dikaitkan dengan perpindahan dari kelab itu, dengan jagoan Bundesliga Jerman, Bayern Munich dilaporkan antara beberapa kelab terkemuka yang berminat untuk menandatangani kapten England tersebut.

"Harry Kane adalah salah seorang penyerang utama dunia dan saya mahu dia terlibat di sini. Saya mahu menjadikan kelab ini berjaya dan tidak syak lagi itulah juga yang dia mahukan selama ini.

"Saya ragui perbualan kami (bersama Kane) akan mengundang dengan cara orang berfikir berkenaan situasi semasa di kelab ini. Saya hanya ingin memperkenalkan diri saya kepada Harry, memberinya visi saya untuk kelab bola sepak dan kemudian pergi ke padang latihan dan merealisasikannya.

"Saya tidak mempunyai jaminan mengenai masa depan Harry Kane dan saya tidak akan menjangkakannya. Anda tidak boleh berurusan dengan kepastian dalam mana-mana aspek kehidupan. Saya hanya cuba menumpukan perhatian kepada apa yang saya tahu," kata Postecoglou.

Spurs sebelum ini melantik Postecoglou pada Jun selepas menamatkan saingan di tempat kelapan dalam Liga Perdana Inggeris selepas kempen kelab itu berakhir dalam keadaan huru-hara, di mana bekas pengurus Antonio Conte melepaskan jawatan dengan cara yang penuh kontroversi, sebelum Cristian Stellini dan Ryan Mason mengambil alih tugas sementara mengendalikan The Spurs.

Kelab London utara itu terlepas bola sepak Eropah buat kali pertama sejak musim 2009/10 dan juga gagal menamatkan kemarau trofi mereka selama 15 tahun.

Postecoglou berkata dia menikmati cabaran untuk membina semula kelab, sambil menambah: "Saya mahu membawa kejayaan kepada kelab bola sepak ini. Saya sentiasa mengambil alih kelab selepas mereka mengalami musim atau musim yang mengecewakan.

"Perkara yang paling saya hargai ialah mencipta sesuatu yang kekal di luar tempoh saya. Senario yang dialami Tottenham sekarang adalah yang paling memotivasikan saya," kata Postecoglou.

Postecoglou bukan pilihan popular untuk pengurus Spurs, dengan para penyokong menunjukkan dia mempunyai sedikit pengalaman dalam bola sepak Eropah berbanding Julian Nagelsmann dan Arne Slot, yang turut dikaitkan dengan tugas tersebut.

Para penyokong Spurs sebelum ini melancarkan kempen media sosial menentang warga Australia itu, dengan hashtag #NoToPostecoglou menjadi tular di media sosial semasa pelantikannya, tetapi Postecoglou menegaskan dia tidak peduli dengan reaksi tersebut.

"Sejujurnya saya tidak pernah mengambil peduli media sosial sebagai pengukur bagaimana orang benar-benar memikirkan mengenai saya.

“Melainkan anda telah bercakap dengan setiap para penyokong Tottenham di seluruh dunia dan ia kembali bahawa mereka tidak mahu saya maka saya tidak memberi perhatian.

"Para penyokong Tottenham mempunyai hak untuk menyuarakan pandangan mereka. Sebahagian besar dalam kalangan para penyokong Tottenham, saya fikir mahu kelab ini berjaya, dan itulah yang sedang saya usahakan," kata Postecoglou.

Tottenham memulakan pra musim dengan perlawanan menentang West Ham United diikuti Leicester City, AS Roma dan Shakhtar Donetsk dalam perlawanan persahabatan, sebelum menentang Brentford dalam perlawanan pembukaan liga di Stadium Komuniti Gtech, pada 13 Ogos