9 maut kebakaran pasar borong di Mexico

Gambar hiasan - Foto123RF
Gambar hiasan - Foto123RF
A
A
A

MEXICO CITY - Sekurang-kurangnya sembilan orang maut manakala seorang cedera dalam kebakaran di pusat pengedaran makanan borong di Toluca, ibu negeri Mexico, menurut pihak berkuasa tempatan pada Isnin.

Pejabat Peguam Negara negeri Mexico memaklumkan bahawa kebakaran pada awal Isnin itu telah menjejaskan beberapa perniagaan yang "terletak di dalam gudang komersial NO 7".

Laporan awal menunjukkan, beberapa suspek membawa senjata memasuki kawasan tersebut dan disyaki meletupkan dan menyembur bahan yang belum dikenal pasti untuk menyebabkan kebakaran sebelum melarikan diri dengan kenderaan, menurut kenyataan pejabat pendakwa raya, lapor Xinhua.

Berdasarkan ancaman dan serangan yang dilaporkan sebelum ini menyasarkan tapak itu, kebakaran tersebut boleh dikaitkan dengan konflik dalaman untuk pemilikan perniagaan.

Pakar forensik telah mengenal pasti mayat termasuk tiga kanak-kanak.

Kira-kira 40,000 orang bekerja di pusat pengedaran seluas 630,000 meter persegi yang dibina pada 1994 itu dan menempatkan kira-kira 2,000 gudang serta perniagaan. - Bernama