Peniaga tidak mengaku terima wang pelaburan lebih RM500,000

Noryani (dua dari kiri) ketika dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen di sini, pada Selasa.
Noryani (dua dari kiri) ketika dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen di sini, pada Selasa.
A
A
A

MELAKA - Seorang peniaga tidak mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, pada Selasa, atas dua pertuduhan menerima deposit wang pelaburan berjumlah lebih RM500,000, tiga tahun lalu.

Noryani Abdullah, 56, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di dua mahkamah berasingan di hadapan Hakim Mohd. Sabri Ismail dan Darmafikri Abu Adam.

Berdasarkan kedua-dua pertuduhan, tertuduh didakwa telah menerima deposit wang pelaburan daripada Fatimah Abdullah, 61, berjumlah keseluruhan RM581,000 yang dimasukkan dalam akaun Maybank tertuduh untuk tujuan perniagaan pelaburan tanpa lesen sah.

Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh di Maybank Cawangan Jalan Hang Tuah di sini, antara 8 Januari 2020 sehingga 26 Oktober 2020 dan 16 Februari 2021.

Bagi kedua-dua kesalahan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 137 (1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Akta 758) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 137 (2) akta sama.

Sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 10 tahun atau denda maksimum RM50 juta atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Puteri Nur Nadia Mohamed Iqbal serta Aliff Asraf Anuar Sharuddin menawarkan jaminan sebanyak RM30,000 dan RM20,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di balai polis setiap bulan.

Tertuduh diwakili peguam Andrew Lourdes merayu jaminan munasabah diberikan dengan alasan tertuduh tidak bekerja dan mempunyai masalah kesihatan termasuk penglihatan kabur.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM45,000 dan bersetuju dengan syarat tambahan yang dipohon pihak pendakwaan.

Mahkamah juga menetapkan 11 Ogos depan sebagai sebutan semula kes dan serahan dokumen.