Salahuddin nasihat elak keluar kenyataan sentuh 3R

Salahuddin (dua dari kiri) melakukan tinjauan harga barang di Pasaraya Econsave, Setapak Sentral berikutan isu harga barang naik. - Foto Bernama
Salahuddin (dua dari kiri) melakukan tinjauan harga barang di Pasaraya Econsave, Setapak Sentral berikutan isu harga barang naik. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Semua ahli politik diingatkan agar mengelak daripada mengeluarkan kenyataan menyentuh isu 3R (raja, agama dan kaum) agar tidak disalah ertikan.

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, pada saat genting menuju Pilihan Raya Negeri (PRN), kenyataan sebegitu boleh menjadi isu politik.

"Kita tak ada (lakukan perkara sedemikian) dan elak daripada itu. Malah, kita melarang dan minta rakyat menolak 3R.

"(Nasihat saya) Jangan jadi pelampau agama, kaum dan kita pastikan semua pimpinan PH (Pakatan Harapan) dan BN (Barisan Nasional) berada pada parameter yang betul.

"Kita berada di landasan yang betul ketika berkempen. Sekarang ini, kena yakinkan rakyat untuk bersama dalam memajukan Malaysia Madani, elak sebarang apa yang dikatakan permainan politik melampau," katanya dalam sidang media selepas meninjau harga barangan di Econsave Setapak Sentral, di sini pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng yang dikatakan disalah ertikan.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Ahad, mengesahkan menerima beberapa laporan polis berhubung kenyataan Guan Eng yang dipercayai menyentuh isu 3R di Tokong Batu, Jelutong, Pulau Pinang pada Jumaat lalu.

Ahli Parlimen Bagan itu disiasat selepas mendakwa gelombang hijau bakal memusnahkan tokong dan menafikan hak agama di Pulau Pinang ketika berucap dalam program ‘Tian Fu Gong Bai Long Wang Singapore-Malaysia’.

Selain itu, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang turut disiasat susulan kenyataan yang dibuatnya berhubung dakwaan DAP yang mahu mengekalkan pengertian Islam di dalam Perlembagaan Persekutuan berdasarkan tafsiran penjajah yang menjunjung liberalisme dan kebebasan yang diamalkan oleh negara Barat.

Kenyataan tersebut dipercayai dilakukan menerusi hantaran di halaman Facebook Abdul Hadi Awang pada 8 Julai lalu.

ARTIKEL BERKAITAN:

Isu 3R tidak patut keluar daripada mulut orang politik

Isu 3R: KKD adakan libat urus dengan penyedia platform media sosial

PRN: Belia perlu elak terpengaruh isu 3R, undi secara rasional