PRN: Belia perlu elak terpengaruh isu 3R, undi secara rasional

Adam Adli - Foto Sinar Harian MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH
Adam Adli - Foto Sinar Harian MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH
A
A
A

KUALA LUMPUR - Golongan belia perlu mengelak daripada terpengaruh dengan permainan persepsi dan isu-isu sensitif terutamanya membabitkan 3R iaitu agama (religion), raja (royalty) dan kaum (race) menjelang pilihan raya negeri (PRN) bulan depan.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim berkat,a golongan itu juga perlu mengambil peluang yang diberikan untuk menilai dan membuat keputusan yang rasional dalam memilih pihak yang bakal menerajui kepimpinan kerajaan negeri masing-masing.

"Saya yakin golongan muda adalah golongan yang sangat kritikal, bijaksana dan tercerah. Mereka ini adalah golongan yang ada sumber maklumat di hujung jari yang mampu membuat perbandingan dan memahami keadaan semasa.

"Ini adalah peluang untuk mereka jadi sebahagian pembuat keputusan bagi kepentingan mereka sendiri di negeri masing-masing, oleh itu saya harap golongan belia menggunakan peluang ini untuk mengundi dengan rasional, tertib dan meraikan semangat demokrasi yang sihat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menjadi tetamu program Jendela Fikir bertajuk ‘Rakan Muda Persiapan Nilai Insan Belia’ terbitan Bernama Radio di sini hari ini.

Adam Adli berkata, belia bebas melontarkan pandangan, berhujah dan memberikan kritikan, namun ia perlu berdasarkan kepada perkara yang rasional dan wajar.

"Menjelang PRN kali ini, kita jadikan apa-apa sekalipun perdebatan berkait politik adalah berkaitan dengan dasar yang memberi manfaat kepada masyarakat (dan) bukan soal kita bermain dengan persepsi, tohmahan, fitnah dan sebagainya,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 12 Ogos sebagai hari mengundi PRN di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan, manakala tarikh penamaan calon pada 29 Julai dan pengundian awal pada 8 Ogos. - Bernama