Dua lemas semasa mencari kepah

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KUCHING - Dua lelaki lemas selepas dihanyutkan arus deras ketika mencari kepah di pantai Esplanade Buntal, Kampung Buntal di sini, tengah malam tadi.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak memaklumkan mayat mangsa pertama Mohamad Amin Umar, 39, ditemukan pada jam 3.30 pagi, manakala mangsa kedua, Awang Khairul Aziq Awang Chula, 25, dijumpai pada jam 3.42 pagi.

Menurutnya, pihak bomba menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 12.47 tengah malam, melibatkan tiga lelaki yang mencari kepah dengan dua daripada mereka telah hilang dibawa arus manakala seorang berjaya menyelamatkan diri.

"Bomba telah membuat pemantauan dan mencari dalam radius 100 meter di sekitar lokasi mangsa dikhuatiri lemas. Mangsa pertama telah dijumpai penduduk kampung pada jam 3.30 pagi, kira-kira 400 meter dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

"Mayat mangsa kedua dijumpai anggota pasukan penyelamat dan penduduk kampung pada jam 3.42 pagi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, kedua-dua mayat mangsa telah diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya. - Bernama