Polis serbu tempat proses, simpan arak tiruan

Peralatan memproses arak tiruan dirampas dalam serbuan sebuah premis di Skudai pada Ahad.
Peralatan memproses arak tiruan dirampas dalam serbuan sebuah premis di Skudai pada Ahad.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis menyerbu tempat pemprosesan dan penyimpanan arak tiruan membabitkan jumlah rampasan bernilai RM241,000 di sebuah premis di Skudai pada Ahad.

Timbalan Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner M Kumar berkata, serbuan itu turut membawa kepada penahanan seorang lelaki serta rampasan peralatan yang digunakan bagi memproses arak tiruan berkenaan.

Menurut beliau, bertindak atas maklumat, Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua melakukan serbuan pada kira-kira jam 10.30 malam di premis terbabit.

"Suspek warga tempatan berusia 35 tahun itu kini ditahan reman selama 14 hari bermula Isnin.

"Rampasan meliputi sejumlah besar kotak berisi pelbagai jenis minuman disyaki tiruan dan peralatan untuk memproses arak tiruan di dalam premis tersebut serta barangan lain," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967.