Cadangan letak pegawai SPRM di KLIA tindakan wajar

Pegawai Imigresen melakukan pemeriksaan dokumen perjalanan pengembara asing di kaunter pemeriksaan Imigresen, KLIA. - Foto fail Bernama.
Pegawai Imigresen melakukan pemeriksaan dokumen perjalanan pengembara asing di kaunter pemeriksaan Imigresen, KLIA. - Foto fail Bernama.
A
A
A

CADANGAN menempatkan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dilihat sebagai langkah yang wajar bagi membendung masalah rasuah di pintu masuk negara, namun kerajaan perlu memastikan proses itu dibuat lebih telus.

Pada Isnin, Ketua Pesuruhjaya SPRM,Tan Sri Azam Baki berkata, kajian menyeluruh akan dilakukan berhubung cadangan berkenaan, namun bergantung kepada kekuatan dan jumlah pegawai.

Pelaksanaan dan prosedur yang betul akan membantu negara daripada kegiatan rasuah serta salah guna kuasa.

Menurut Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, kehadiran pihak berkuasa sama ada secara disedari atau tidak, akan menjadikan mereka lebih berhati-hati dan menjaga integriti sebagai penjaga pintu utama negara.

Penempatan pegawai SPRM dilihat mampu menjaga tingkah laku pihak berkuasa daripada pelbagai agensi kerajaan bagi memastikan tiada isu salah guna kuasa atau wang dalam kalangan pegawai.

Isu rasuah dan salah guna kuasa di pintu sempadan negara bukan perkara baharu, tetapi sebagai negara yang berdaulat masalah tersebut perlu ditangani daripada peringkat akar umbi seiring dengan prinsip Kerajaan Madani.

Kerjasama secara holistik daripada pelbagai pihak mampu membantu kerajaan menangani isu tersebut daripada terus menjadi barah dalam kalangan pegawai kerajaan.

Tindakan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Tiong King Sing di pintu masuk antarabangsa KLIA mampu memberi implikasi buruk terhadap nilai integriti negara.

Pelan tindakan yang menempatkan pegawai SPRM akan membantu membersihkan kembali imej negara daripada terus tercemar oleh perbuatan salah guna kuasa dalam kalangan pegawai kerajaan atau menteri.

Namun terdapat pihak yang mengatakan langkah tersebut akan menjadi beban dan pembaziran daripada segi kos.

Perkara yang membimbangkan jika penempatan tersebut akan menambah masalah sedia ada.

Justeru, cadangan dan pelan tindakan terbaik mampu membendung isu rasuah atau salah guna kuasa, kerana perbuatan itu mampu menggugat keselamatan negara.