Hariz Adlan hadiahkan gangsa di Bangkok

Hariz Adlan, Fan Yew dan Muhd Danial.
Hariz Adlan, Fan Yew dan Muhd Danial.
A
A
A

SKUAD muda negara meraih pingat kelima pada Kejohanan Tenpin Boling Remaja Asia ke-21, apabila Muhammad Hariz Adlan Azman menghadiahkan gangsa dalam acara All Event lelaki di Bangkok, Thailand pada Isnin.

Atlet berusia 19 tahun itu memenangi pingat tersebut selepas mengumpul keseluruhan 3,794 jatuhan pin untuk berada di kedudukan ketiga di belakang wakil Thailand, Vilinkorin Kiedkaew yang meraih emas dengan 3,880 jatuhan pin, manakala perak milik Lan Shao Kang dari Taiwan (3,828).

Sementara itu, Tsen Fan Yew, Muhammad Danial Abu Samah dan Syabil Azam Syamsul Azam, gagal menyerlah dalam acara berkenaan apabila terpaksa berpuas hati di tempat ketujuh, ke-15 dan ke-30, selepas masing-masing melakukan 3,723, 3,635 dan 3,478 jatuhan pin.

Pada Jumaat, Muhammad Hariz meraih pingat perak acara individu lelaki, sebelum bergandingan dengan Tsen Fan Yew untuk turut merangkul perak acara beregu lelaki, sehari kemudian.

Satu lagi pasangan negara, Muhammad Danial Abu Samah-Syabil Azam Syamsul Azam meraih gangsa dalam acara beregu lelaki.

Bagi acara All Event wanita, Anis Hannani Romzi menjadi pemain terbaik negara selepas menduduki tempat kelima dengan 3,630 jatuhan pin.

Adelia Nur, Nur Hazirah, Anis Hannani dan Nurul Anis Nabila.
Adelia Nur, Nur Hazirah, Anis Hannani dan Nurul Anis Nabila.

Atlet Korea Selatan, Choi Yurin meraih emas apabila melakukan 3,798 jatuhan pin, manakala tempat kedua dimenangi rakan senegaranya, Oh Hyunji (3,704) sementara atlet Singapura, Arianne Tay mengutip gangsa (3,635).

Pada Sabtu, Malaysia merangkul emas pertama pada kejohanan itu dalam acara beregu wanita menerusi gandingan Nurul Anis Nabila Mohd Nizam dan Anis Hannani Romzi.