Threads pecah rekod ChatGPT, raih lebih 100 juta pendaftaran

Aplikasi Threads diperkenalkan Meta pada Rabu lalu. - Foto Agensi
Aplikasi Threads diperkenalkan Meta pada Rabu lalu. - Foto Agensi
A
A
A

PARIS - Aplikasi Threads yang dilancarkan Instagram telah meraih lebih 100 juta pendaftaran dalam tempoh kurang seminggu selepas ia dilancarkan.

Angka itu dikeluarkan laman perkhidmatan data, Quiver Quantitative pada Isnin, sekali gus memecahkan rekod kecerdasan buatan (AI), ChatGPT yang menjadi aplikasi pengguna paling pesat berkembang sebelum ini.

AFP menerusi laporan mereka mendapati ChatGPT mengambil masa selama dua bulan untuk mencapai jumlah 100 juta pengguna manakala aplikasi TikTok memerlukan masa selama sembilan bulan dan Instagram selama dua tahun setengah untuk memperoleh angka sedemikian.

Threads dilihat sebagai pesaing utama kepada Twitter yang mempunyai kira-kira 200 juta pengguna dan dijangka menggugat kedudukan laman blog mikro tersebut yang sering berdepan masalah teknikal sejak pengambilalihan oleh Elon Musk pada tahun lalu.

Musk yang berasa terancam merancang untuk menyaman Meta yang turut memiliki Facebook dan WhatsApp kerana didakwa mencuri rahsia perdagangan serta harta intelek. - AFP