14 penumpang warga asing antara mangsa nahas di Lebuhraya PLUS

Keadaan bas persiaran selepas terbabit kemalangan di Kilometer 285.3 Lebuhraya PLUS arah utara awal pagi Isnin.
Keadaan bas persiaran selepas terbabit kemalangan di Kilometer 285.3 Lebuhraya PLUS arah utara awal pagi Isnin.
A
A
A

SEREMBAN - Seramai 14 penumpang warga asing antara mangsa kemalangan membabitkan sebuah bas persiaran dan sebuah kereta di kilometer 285.3 Lebuhraya Utara - Selatan (PLUS) arah ke Kuala Lumpur, 5.25 pagi tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Nilai, Deputi Superintenden Mat Ghani Lateh berkata, mereka terdiri daripada empat warga Indonesia, Singapura (tiga), Kanada (dua), Filipina (tiga) serta masing-masing seorang dari China dan Sepanyol.

Katanya, hasil siasatan awal di tempat kejadian mendapati sebuah bas persiaran milik Syarikat LA Holidays Travel & Tours Sdn Bhd membawa 20 orang penumpang termasuk pemandu dalam perjalanan dari Singapura menuju Kuala Lumpur.

"Bas tersebut disyaki melanggar tiang jambatan di kanan lebuh raya sebelum berpusing ke kiri dan melanggar sebuah kereta yang berada di lorong kiri lalu terbabas masuk ke bahu kiri jalan," katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.

Beliau berkata, akibat kemalangan itu, pemandu bas iaitu seorang lelaki berusia 33 tahun dan seorang penumpang bas wanita warga Indonesia berumur 42 tahun, telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Sementara itu, lima penumpang dilaporkan mengalami kecederaan parah manakala 13 penumpang lain cedera ringan.

"Penumpang kereta jenis Proton Wira mengalami cedera ringan manakala pemandunya tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Kesemua mangsa yang cedera mendapat rawatan di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) dekat sini manakala dua yang maut dibawa ke hospital sama bagi proses bedah siasat.

Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 41 (1) APJ 1987.

Terdahulu, dilaporkan dua maut dan tujuh penumpang bas cedera parah dalam kemalangan tersebut. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Dua maut, tujuh parah kemalangan babit bas, kereta