Mayat dua lelaki berbungkus kanvas ditemui dalam semak

Dua mayat lelaki ditemui dalam semak di tepi Jalan Kampung Ujong Padang, Cheng di sini, pada pagi Isnin.
Dua mayat lelaki ditemui dalam semak di tepi Jalan Kampung Ujong Padang, Cheng di sini, pada pagi Isnin.
A
A
A

MELAKA - Mayat dua lelaki yang dibungkus dalam kanvas ditemui di dalam semak di tepi Jalan Kampung Ujong Padang, Cheng di sini, pada pagi Isnin.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit, berkata, kedua-dua mayat itu ditemui pada jam 9 pagi oleh orang awam yang melalui kawasan berkenaan sebelum memaklumkan mengenainya kepada polis.

Menurutnya, siasatan awal mendapati lokasi penemuan mayat terdapat timbunan sampah dan mayat pertama ditemui dalam kanvas yang telah diikat dengan kabel tie dan tali lengkap berpakaian baju berwarna hitam dan seluar jeans pendek.

"Manakala tubuh kedua dijumpai dalam kanvas bersebelahan tubuh pertama, pemeriksaan lanjut mangsa tidak berbaju dan yang hanya berseluar jeans pendek.

"Terdapat lukisan cacahan (tatoo) pada mayat namun belum dikenal pasti sebab tidak beberapa jelas dan polis masih menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti identiti sebenar si mati," katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, berdasarkan keadaan kedua-dua mayat dipercayai mangsa telah lebih dua hari meninggal dunia di tempat lain sebelum mayat mereka dibuang di kawasan itu.

Jelas beliau, polis juga tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri pada kedua-dua mayat tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

"Orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan berita yang tidak benar kerana dikhuatiri akan menimbulkan kegusaran kepada masyarakat.

"Mereka yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Asisten Superintenden, Muhather Abd Kudus di talian 013-288 4878 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah di talian 06-2841999," katanya.