JKM kesan waris tiga kanak-kanak

LEE SHUN KEONG, NURAIN, MUHAMMAD DANIEL
LEE SHUN KEONG, NURAIN, MUHAMMAD DANIEL
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Kebajikan dan Masyarakat (JKM) sedang mengesan waris tiga kanak-kanak bagi melengkapkan proses penempatan dan sijil kelahiran yang tergendala sehingga kini.

Menerusi satu kenyataan, JKM Daerah Klang memaklumkan, pihaknya sedang mencari waris kepada seorang kanak-kanak berusia tiga tahun dikenali sebagai Lee Shun Keong.

Menurutnya, Shun Keong telah dibawa ke Pejabat JKM Daerah Klang pada 25 Februari lalu oleh penjaganya yang telah memelihara kanak-kanak ini sejak Jun 2017.

Bagaimanapun, difahamkan penjaga tersebut sudah uzur dan tidak mampu menjaga kanak-kanak ini yang telah diserahkan oleh bapa kandungnya sebelum ini.

"Penjaga berkenaan memaklumkan dia sudah terputus hubungan dengan bapa kandung kanak-kanak itu sejak beberapa bulan lalu, malah ibu kandungnya juga sudah menghilangkan diri sejak Shun Keong bayi.

"Kanak-kanak ini akan dibawa ke Mahkamah Bagi Kanak-Kanak (MBKK) Klang pada 16 Mei depan untuk perbicaraan menetapkan perintah tetap. Sebarang maklumat mengenai warisnya boleh menghubungi Pelindung Pejabat JKM Daerah Klang, Nurzatulhain Mohd Othman di talian 03-33413703/3913," katanya.

Selain itu, JKM Shah Alam juga sedang mengesan waris kepada seorang kanak-kanak kurang upaya (OKU) berusia 10 tahun yang dikenali sebagai Nurain Fateha Mohd Shahril.

Menurut kenyataan itu, ibu Nurain yang dikenali sebagai Sunarti Rajangmunirah telah menumpang di rumah kenalannya namun dia meninggal dunia pada bulan Julai 2017 lalu.

Artikel Berkaitan:

"Selepas Sunarti meninggal, Nurain menetap bersama kenalan ibunya itu memandangkan bapanya tidak dapat dikesan.

"Malah Nurain jug tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri dan JKM sedang mengesan waris kepada kanak-kanak ini bagi melengkapkan pendengaran kes pada 28 Mac depan.

"Mana-mana pihak yang mempunyai sebarang maklumat boleh berhubung terus dengan Pelindung Kanak-Kanak JKM Shah Alam, Hanim Azrin Mahyudin di talian 03-55102015/00415," katanya.

Dalam pada itu, JKM Daerah Klang juga sedang mengesan waris kepada seorang kanak-kanak yang disyaki menjadi mangsa diperdagangkan oleh pihak tertentu untuk dijadikan anak angkat kepada pasangan suami isteri.

Katanya, kanak-kanak terbabit, Muhammad Danial Abdullah,11,telah dirujuk oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang pada Oktober 2008.

"Muhammad Daniel telah ditempatkan di Rumah Kanak-Kanak Tengku Budriah di bawah Seksyen 30(1)d Akta Kanak-Kanak 2001 sehingga kini.

"Selain itu, Muhammad Daniel turut menghidap penyakit jantung berlubang sejak lahir dan telah menjalani beberapa rawatan serta pembedahan," katanya.

Difahamkan, buat masa ini, keadaan Muhammad Daniel semakin baik namun dia masih mendapatkan rawatan secara berkala di Institut Jantung Negara.

Mana-mana pihak yang mengenali waris kanak-kanak ini boleh berhubung dengan Penolong Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Klang, Muhammad Rasfan Daud @ Mahusin di talian 03-33413703/03-334103821.