Anwar disaran tidak berpolitik macam zaman TV hitam putih

No Image Caption
A
A
A

SEREMBAN - Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim disarankan tidak berpolitik seperti berada pada zaman televisyen hitam putih.

Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad berkata, ini kerana hari ini semua maklumat berada di hujung jari dan boleh diulang siar.

"Dia (Anwar) isytihar pelupusan hutang Felda RM8.3 bilion. Tuan-tuan, dia boleh cakap itu biarlah, zaman hari ini maklumat di hujung jari.

"Hari ini orang boleh tengok di Internet, bukti semua itu dilaksanakan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika jadi Perdana Menteri," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Perikatan Nasional Negeri Sembilan, di sini pada Ahad.

Justeru katanya, tidak hairanlah orang muda hari ini memilih untuk bersama Perikatan Nasional (PN) meskipun pelbagai tohmahan dilemparkan terhadap gabungan itu.

"Ada hikmah PN tidak berjaya membentuk kerajaan kerana boleh melihat kelemahan kerajaan hari ini di bawah pentadbiran Anwar. Ada pepatah Arab menyebut, kalau kamu sembunyi macam mana pun akan diketahui suatu hari nanti.

"Rupanya sejak zaman reformasi 1998, sehinggalah dia (Anwar) menjadi Perdana Menteri, kita tak tahu pun sehinggalah Tan Sri Rais Yatim menulis kalau boleh jangan pilih pemimpin yang tahu bercakap," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Pas selama ini tidak pernah menganggap UMNO sebagai lawan berbahaya, sebaliknya memberitahu penyokong musuh parti itu adalah Pakatan Harapan (PH).

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!