Komuniti Madani sampaikan maklumat sahih kepada masyarakat

Fahmi (dua dari kiri) beramah mesra bersama para peserta cilik yang menyertai pertandingan mewarna ketika hadir pada Program Kita Madani Peringkat Negeri Selangor di Dewan Orang Ramai Kampung Bukit Changgang pada Ahad. - Foto Bernama
Fahmi (dua dari kiri) beramah mesra bersama para peserta cilik yang menyertai pertandingan mewarna ketika hadir pada Program Kita Madani Peringkat Negeri Selangor di Dewan Orang Ramai Kampung Bukit Changgang pada Ahad. - Foto Bernama
A
A
A

BANTING - Komuniti Madani di sini percaya badan itu sememangnya memainkan peranan penting dalam menyebarluaskan informasi terkini dan sahih mengenai dasar dan inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan.

Ketua Kampung Orang Asli Olak Lempit, Zainal Warci berkata, penubuhan Komuniti Madani secara langsung telah membantu kerajaan untuk memastikan segala bantuan dan peruntukan dapat disampaikan kepada golongan sasar yang memerlukan.

”Bagi saya, Komuniti Madani ini menjadikan tidak ada sempadan diantara pemimpin dan rakyat dan kita boleh menyampaikan terus kepada peringkat atasan dan pemimpin berkenaan permasalahan rakyat dan tidak ada pilih kasih,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika program Kita Madani Peringkat Negeri Selangor di Kampung Bukit Changgang pada Ahad yang dihadiri Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

Sementara ahli Komuniti Madani, Manisah Mansor, 49, dari Kampung Sungai Merab Luar berkata, berdasarkan ucapan Fahmi ketika majlis berkenaan, dis mula menyedari akan peranan badan itu dalam membantu kerajaan menjayakan konsep Madani demi kemakmuran negara.

”Kalau ikut dengar apa menteri cakap tadi memang okey lah kerana sebelum ini saya tidak prihatin sangat mengenai peranan saya ini. Jadi bila menteri cakap, baru saya terbuka minda dan terfikir memang betul apa yang dicakapkan kerana memang fitnah-fitnah ini bahaya kepada masyarakat,” katanya.

Sebelum itu, Fahmi dalam ucapannya berkata, selain daripada memperkasakan usaha penyaluran maklumat daripada kerajaan kepada rakyat, beliau juga mengharapkan agar Komuniti Madani dapat membantu mengenal pasti isu yang dihadapi rakyat selain menjelaskan dan menangkis sebarang fitnah dan berita palsu.

Beliau berkata, selaras dengan keputusan jemaah menteri sebanyak 1,878 Komuniti Madani telah ditubuhkan di seluruh negara dan 168 daripadanya adalah di Selangor yang meliputi 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN). - Bernama