Produk sarung kaki kesihatan dijamin KKM palsu

KKM menafikan memperakui produk stoking yang didakwa mampu melindungi dan meningkatkan kesihatan pengguna.
KKM menafikan memperakui produk stoking yang didakwa mampu melindungi dan meningkatkan kesihatan pengguna.
A
A
A

SHAH ALAM - Produk sarung kaki yang didakwa mampu melindungi dan meningkatkan kesihatan, kononnya diperakui oleh Kementerian Kesihatan (KKM), dikenal pasti palsu.

Perkara itu disahkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang menafikan memberi perakuan untuk produk tersebut.

KKM berkata, pihak yang tidak bertanggungjawab telah menggunakan nama KKM untuk mengelirukan orang ramai.

Menurutnya, mana-mana pihak yang didapati menyebarkan maklumat palsu berhubung perkara itu boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 211 dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"KKM mengambil perhatian serius terhadap penyebaran maklumat palsu yang tular di media sosial baru-baru ini berkaitan stoking yang mampu melindungi dan meningkatkan kesihatan.

"Pihak terlibat menyatakan bahawa 'KKM berjanji untuk membayar balik jika ia tidak berkesan'.

"Ia boleh mengundang kepada kekeliruan dalam kalangan masyarakat memandangkan KKM tidak pernah memperakukan produk tersebut," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.

Sehubungan itu, KKM menasihati orang ramai menghentikan sebarang perkongsian maklumat tersebut.

"Berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran produk yang boleh menarik minat serta emosi dengan menyemak fakta dan maklumat di platform yang dipercayai.

"Tindakan akan diambil di bawah Seksyen 211 dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, kerana telah mengedarkan maklumat palsu yang mengandungi salah faham serta kandungan yang tidak benar dengan tujuan tertentu demi kepentingan keuntungan semata-mata,"katanya.