PRN: Tanding DUN bukan taraf Annuar - Nik Saiful

Annuar Musa, Nik Saiful Adli
Annuar Musa, Nik Saiful Adli
A
A
A

KOTA BHARU - UMNO Bahagian Ketereh mencadangkan Pas meletakkan 'pahlawan' baharunya, Tan Sri Annuar Musa sebagai calon untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu.

Ketua Penerangan UMNO Bahagian Ketereh, Nik Saiful Adli Burhan berkata, kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak sesuai untuk ditandingi oleh bekas Ahli Parlimen Ketereh itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Beliau berkata, Annuar sepatutnya diberi peluang untuk bertanding di kerusi Parlimen yang dilihat sama taraf dengan pengalaman politik dimiliki tokoh berkenaan.

"Orang hebat seperti Annuar Musa, tempatnya bukanlah di liga kampung. Mungkin sebab itulah sudah ada ura-ura beliau tidak berminat untuk bertanding dalam PRN.

"Pada 12 Jun lalu, Annuar telah mengeluarkan kenyataan; "Jadikan saya calon ‘pilihan terakhir’ untuk Pas". Ia isyarat yang cukup jelas bahawa beliau tidak berminat dengan liga yang kecil," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Menurut beliau, Pas sewajarnya meletakkan kedudukan Annuar di tempat yang lebih strategik terutama di Parlimen.

Ujarnya, peluang terbaik membuktikan setiakawan kepada Pas kepada Annuar ialah memberi kerusi Parlimen Kuala Terengganu.

"Ini peluang untuk Annuar kembali ke Dewan Rakyat," katanya.

Nik Saiful memberitahu, sejak menjadi ahli Pas, Annuar sudah menjadi pahlawan dengan menyerang kerajaan perpaduan terutamanya UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Tambah beliau, sememangnya bekas Ahli Parlimen Ketereh itu diiktiraf oleh semua parti sebagai seorang pahlawan tidak kira di dalam parti mana Annuar berada.

"Suara beliau digeruni oleh lawan dan disegani oleh kawan. Keberadaan beliau di dalam Dewan Rakyat puluhan tahun menghidupkan dewan dengan pelbagai perbahasan yang memperlihatkan wakil rakyat yang cerdik," katanya.