Jangan nafi sumbangan kerajaan Persekutuan - Anwar

Anwar
Anwar
A
A
A

KUBANG PASU - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan kerajaan negeri terutama yang ditadbir pembangkang agar tidak menafikan sumbangan dan dana diberikan Kerajaan Persekutuan dalam membantu pembangunan negeri berkenaan.

Anwar berkata, sebagai Menteri Kewangan beliau sama sekali tidak mengetepikan peranan dibawa pemimpin di negeri terbabit, namun kebanyakan keputusan pelaburan adalah dibuat dengan sokongan Kerajaan Persekutuan.

Katanya, lebih baik juga sekiranya pentadbiran negeri dapat bersama Kerajaan Persekutuan bagi membolehkan lebih banyak pembangunan dibawa pada masa depan.

"Kerajaan negeri jika sehaluan (Kerajaan Persekutuan) maka lebih senang, apatah lagi jika pemimpinnya sopan dan bijak menjaga hubungan, maka itu akan lebih membantu," katanya ketika Program Temu Anwar Kedah di Universiti Utara Malaysia (UUM) di sini pada Sabtu.

Menurutnya, sebagai contoh, hampir keseluruhan pelaburan Taman Teknologi Tinggi Kulim (Kulim Hi-Tech) di Kedah dibantu oleh Kerajaan Persekutuan.

"Jika hendak kata kerajaan negeri sudah berjaya, Kulim Hi-Tech itu dana Kerajaan Persekutuan. Saya tak nafi peranan kerajaan negeri, tapi dana dan pelaburan paling banyak adalah dari Kerajaan Persekutuan," katanya.

Ujarnya, sebagai Perdana Menteri beliau turut mencadangkan agar pelaburan dibuat di Kelantan dan Terengganu bagi penjanaan tenaga angin yang mahu dieksport ke Singapura.

"Terengganu memang ada peningkatan, tetapi dari nilai ambang terendah kerana negeri itu antara termiskin di Semenanjung, jika ekonominya naik empat peratus dan Selangor naik satu peratus, sebenarnya nilai Selangor itu lebih tinggi.

“Kena faham sektor paling tinggi itu adalah minyak dan gas. Sektor itu di bawah siapa? Di bawah Petronas. Petronas di bawah siapa? Di bawah Perdana Menteri.

“Saya beritahu kepada Menteri Besar Terengganu (Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar) baru-baru ini saya ke China dan ada syarikat petrokimia mahu melabur di Johor, saya kata anda perlu lihat Terengganu juga kerana ada potensi di sana,” katanya.