Menteri Pertahanan India bakal bertemu Anwar

Anwar Ibrahim (kiri), Rajnath Singh
Anwar Ibrahim (kiri), Rajnath Singh
A
A
A

NEW DELHI - Menteri Pertahanan India, Rajnath Singh akan berada di Malaysia untuk lawatan dua hari bagi meningkatkan lagi hubungan pertahanan dua hala.

Singh akan bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selain mengadakan perbincangan dengan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan semasa lawatannya yang bermula pada Isnin, menurut kenyataan Kementerian Pertahanan India pada Sabtu.

Perbincangan dengan rakan sejawatan dari Malaysia itu bertujuan untuk "menilai semula kerjasama pertahanan antara kedua-dua negara dan meneroka inisiatif baharu" bagi mengukuhkan lagi hubungan.

Kedua-dua pemimpin turut akan bertukar pandangan mengenai isu serantau dan global yang mempunyai kepentingan bersama,

"India dan Malaysia mementingkan keamanan dan kemakmuran di seluruh rantau. Kedua-dua negara demokrasi itu mempunyai hubungan yang kukuh dan pelbagai yang telah berkembang merangkumi beberapa bidang strategik, termasuk pertahanan dan keselamatan," menurut kenyataan itu. - Bernama