Mayat lelaki tanpa identiti, leher diikat batu ditemui terapung

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

BATU KAWAN - Satu mayat tanpa identiti ditemui dalam keadaan terapung di laut berhampiran Jeti Bagan Bukit Tambun pada jam 11.45 pagi Jumaat.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintenden Ng Ah Thiam berkata, polis yang menerima laporan mengenai penemuan itu terus ke lokasi untuk siasatan lanjut.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati, tangan, kaki dan leher mayat tersebut dalam keadaan terikat dengan tali bersama sebongkah batu di muara sungai.

"Pemeriksaan pada mayat juga menemui kesan terbelah di bahagian perut mangsa dipercayai dicederakan dengan menggunakan senjata tajam.

"Mangsa memakai baju berkolar, lengan pendek berwarna merah dan seluar 'boxer' berwarna hitam. Setakat ini identiti mangsa masih belum diketahui," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Kata beliau, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sungai Bakap untuk bedah siasat.

"Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini atau ahli keluarga yang hilang diminta untuk segera tampil memberi keterangan atau menghubungi pegawai penyiasat kanan, Asisten Superintenden Mohd Hafiz Mohd Noor di talian 019-465 0777 atau hotline Polis SPS (04-5858222) atau Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang (04-2221522) atau mana-mana balai polis yang berdekatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.